Buletin

Filem Aishwarya Rai "Ponniyin Selvan" tayang awal tahun 2021

Penulis: Nisa Irina

Aishwarya menjadi peneraju wanita utama dalam filem sejarah "Ponniyin Selvan".
Aishwarya menjadi peneraju wanita utama dalam filem sejarah "Ponniyin Selvan".

30 Mei – Diva Bollywood Aishwarya Rai Bachchan bakal kembali ke layar perak menerusi filem terbarunya "Ponniyin Selvan" yang akan ditayangkan pada awal tahun hadapan.

Perkara itu telah disahkan oleh penerbit Shiva Anand yang bercadang untuk melangsungkan penggambaran filem dalam satu jadual panjang bagi memastikan ia akan dirilis pada tarikh yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, penerbit eksekutif Mani Ratnam, yang juga bertindak sebagai pengarah filem, telah pun bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Shiva.

"Seperti orang lain yang berada dalam industri, kami sedang menantikan waktu sesuai untuk menyambung penggambaran dan berbincang mengenai tarikh penggambaran bersama para pelakon.


"Agak sukar untuk menyusun atur jadual-jadual mereka, tetapi ia adalah tanggungjawab kami untuk mencari jalan penyelesaian. Kami tiada niat untuk berkompromi tentang filem ini.

"Kami akan meriliskan filem ini pada suku pertama tahun hadapan, walaupun kami masih belum menentukan tarikh rilisnya buat masa ini," ujarnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Menurut satu sumber terdekat juga, mereka akan memulakan penggambaran babak Aishwarya bersama aktor Vikram, di mana kedua-duanya adalah watak utama.

Tambah sumber itu lagi, jika pihak produksi tidak dibenarkan untuk melangsungkan penggambaran di luar, maka lokasi penggambaran akan ditukar ke sebuah studio di Chennai.

Buat pengetahuan lanjut, "Ponniyin Selvan" merupakan sebuah filem sejarah yang diadaptasi dari novel fiksyen nukilan Kalki Krishnamurthy yang sama judulnya.

Selain Aishwarya dan Vikram, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Karthi, Jayam Ravi, Vikram Prabhu, Trisha, Aishwarya Lekshmi, Sobhita Dhulipala, Aditi Rao Hydari dan ramai lagi.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Travel Talk & Ritz Magazine)

Cinema Online, 30 Mei 2020


Showtimes