Buletin

Gong Yoo sifatkan "Coffee Prince" sebagai buah hati berharga

Penulis: Nisa Irina

Gong Yoo tampil bersama pelakon utama "Coffee Prince" dalam dokumentari istimewa.
Gong Yoo tampil bersama pelakon utama "Coffee Prince" dalam dokumentari istimewa.

25 Sep – Biarpun sudah lebih sedekad sejak drama ikonik "Coffee Prince" disiarkan, namun sehingga hari ini ia kekal menjadi kegemaran para peminat drama Korea atau Kdrama dari seluruh dunia.

Pelakon utamanya yang juga aktor Korea Selatan popular, Gong Yoo, menyifatkan drama itu sebagai salah satu karya paling berharga yang pernah dibintanginya sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan.

Perkara itu telah didedahkan menerusi dokumentari "My Dear Youth – Coffee Prince" yang menampilkan barisan pelakon utama lain iaitu Yoon Eun-hye, Lee Sun-gyun, Chae Jung-an, Kim Dong-wook dan Kim Jae-wook.

"Ia bagaikan buah hati pertama saya. Rasanya seperti bersemuka dengan seseorang yang saya simpan dalam memori. Saya ingin simpan emosi yang saya rasakan ketika terlibat dalam drama ini dalam hati saya.


"Jujur saya takut dokumentari ini akan merosakkan apa-apa tentang drama itu. Tak tahu kenapa apabila saya tonton semula "Coffee Prince", saya tak rasa malu. Biasanya, saya malu menonton lakonan saya sendiri.

"Namun Choi Han-gyeol adalah satu watak yang saya tak rasa malu untuk lakonkan. Mungkin kerana lakonan saya hebat?" guraunya yang dipetik dari laporan Koreaboo.

"Coffee Prince" menceritakan kisah Go Eun-chan, seorang gadis 'tomboy' yang menyamar sebagai lelaki untuk bekerja di sebuah kafe milik Choi Han-gyeol di mana semua pekerjanya adalah lelaki.

Buat pengetahuan lanjut, drama ini turut dialih suara dalam Bahasa Melayu serta diadaptasi di Malaysia dengan judul "My Coffee Prince" pada 2017, menggandingkan pelakon Fattah Amin dan Janna Nick sebagai peneraju utama.

(Sumber foto: jazminemedia.com & reelgood.com)

Cinema Online, 25 September 2020


Related Movies:
Train To Busan (Korean) (04 Aug 2016)

Jwplayer article page COSG
Showtimes