Buletin

Hazama akui sukar bermain bass dalam "Rock 4"

Penulis: Nisa Irina

Hazama berharap generasi muda dapat menyokong industri filem dan muzik tempatan.
Hazama berharap generasi muda dapat menyokong industri filem dan muzik tempatan.

17 Feb – Penyanyi dan pelakon Hazama Azmi dipilih untuk menyambung legasi trilogi filem "Rock" arahan pengarah tersohor Mamat Khalid menerusi filem muzikal "Rock 4: Rockers Never Dai".

Disoal mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menjayakan filem itu, Hazama yang memegang watak sebagai Omar memberitahu, dia berdepan kesukaran untuk bermain alat muzik bass.

"Seperti yang semua orang tahu, saya merupakan pemuzik yang mengetengahkan vokal dan mempunyai kelemahan dalam bermain alat muzik lain selain vokal.

"Masalah saya adalah bagaimana saya perlu memegang bass dengan betul. Walau bagaimanapun, saya menerima banyak tunjuk ajar dan semangat daripada para pelakon lain iaitu Adam John, Bulan Terry dan Nazimi Fahmi.

"Mereka sememangnya mempunyai kebolehan untuk bermain alat muzik, namun mereka tidak memperkecilkan bakat saya untuk bermain bass. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Rock 4" di Petaling Jaya, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Hazama berharap orang ramai khususnya generasi baru dapat menyokong industri filem dan muzik tempatan serta menerima mesej-mesej yang ingin disampaikan menerusi filem tersebut.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios, "Rock 4: Rockers Never Dai" bakal menggegarkan pawagam bermula 20 Februari ini.

Beralih ke perkembangan lain, Hazama bakal terlibat dengan Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah yang menggabungkannya bersama tiga lagi vokalis hebat tanah air iaitu Tomok, Black dan Akim.

Konsert anjuran Belbis Sdn Bhd itu bakal berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur.

Cinema Online, 17 Februari 2020


Related Movies:
Tiada Tajuk (Malay) (04 Apr 2019)
Showtimes