Buletin

Hrithik Roshan dedah wataknya dalam "Dhoom 2" diinspirasi daripada tiga aktor

Penulis: Nisa Irina

Antara penampilan Hrithik sebagai Aryan Singh dalam filem "Dhoom 2".
Antara penampilan Hrithik sebagai Aryan Singh dalam filem "Dhoom 2".

27 Nov – Bintang Bollywood Hrithik Roshan meraikan ulang tahun ke-14 bagi filem aksi thriller ikonik lakonannya "Dhoom 2" pada Rabu dengan berkongsikan sesuatu yang istimewa buat para peminat.

Menerusi laman Instagram miliknya, Hrithik telah memuat naik beberapa keping foto wataknya sebagai Aryan Singh, atau lebih dikenali sebagai "Mr. A", dan mendedahkan ia sebenarnya diinspirasikan daripada tiga aktor terkenal.

""Dhoom 2" merupakan pengenalan saya untuk memperlihatkan bagaimana caranya menjadi seksi. Ia sesuatu yang saya belajar daripada Anaita Shroff Adajania. Aryan adalah sisi berbeza yang saya sendiri tak tahu dia wujud dalam diri saya.


"Saya masih ingat waktu ketika seharian saya bermeditasi dan bernafas banyak kali untuk mencari ketenangan yang saya bayangkan ada dalam diri Aryan tetapi saya tak tahu bagaimana untuk menyampaikannya.

"Watak ini diinspirasikan daripada tiga aktor. Bruce Willis, Pierce Brosnan dan Amitabh Bachchan. Saya gabungkan ketiga-tiga mereka dan terhasillah watak Aryan. Saya rasa Aryan akan hidup dalam diri saya selama-lamanya," katanya.

Buat makluman lanjut, watak Aryan adalah seorang pencuri yang licik dan pandai menyamar sebagai individu-individu berbeza.

Selain Hrithik, filem arahan Sanjay Gadhvi itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Abhishek Bachchan, Aishwarya Rai, Uday Chopra, Bipasha Basu dan Rimi Sen.

Untuk rekod, Hrithik turut merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Filmfare kerana menjayakan watak tersebut.

(Sumber foto: Hrithik Roshan Instagram)

Cinema Online, 27 November 2020


Showtimes