Buletin

Nabila Huda bakal bintangi 'remake' "Rahsia"

Penulis: Nisa Irina

Nabila Huda akan menjalani latihan di Pulau Carey selama sebulan.
Nabila Huda akan menjalani latihan di Pulau Carey selama sebulan.

10 Feb – Pelakon Nabila Huda bakal membintangi sebuah 'remake' kepada filem seram klasik berjudul "Rahsia" (1987) yang akan dijayakan di bawah garapan Syamil Othman tidak lama lagi.

Menerusi filem itu, Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil, akan berkongsi skrin bersama pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Fikry Ibrahim buat kali pertama.

"Pada 11 Februari ini, saya akan mula menjalani penggambaran bagi projek filem seram iaitu 'remake' kepada filem "Rahsia". Bagaimanapun, skrip dan jalan ceritanya diolah supaya tak sama dengan yang lama.

"Kami juga akan menjalani latihan di Pulau Carey selama sebulan. Jujurnya, filem dan watak ini adalah antara yang paling berat saya pernah jayakan. Apa pun saya teruja untuk membintangi filem ini memandangkan saya dah lama tak berlakon filem.


"Ini merupakan kali pertama saya akan digandingkan dengan Fikry. Saya senang hati kerana produksi ini ada membuat sesi latihan jadi saya dapat mencipta keserasian bersama Fikry di set penggambaran," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "M4M4" baru-baru ini.

Selain Fikry, filem ini juga akan menampilkan pelakon veteran Eman Manan serta dua pelakon cilik iaitu Qistina Raisah dan Syed Ali Murtadha. Butiran selanjutnya bakal diumumkan kelak.

Filem "Rahsia" yang asal dibintangi oleh pelakon veteran Noor Kumalasari, Shukery Hashim, Datuk Yusof Haslam dan Noraini Hashim di bawah arahan Othman Hafsham.

Sementara itu, "M4M4" yang kini ditayangkan di pawagam sejak 6 Februari lalu merupakan filem thriller seram arahan Eyra Rahman yang menggandingkan Abil bersama pelakon Bella Dowanna.

Cinema Online, 10 Februari 2020


Related Movies:
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)
Wangi (Malay) (05 Sep 2019)
Makrifat Cinta (Malay) (01 Feb 2018)
Showtimes