Buletin

Industri filem tempatan pulih dalam tempoh 6 bulan lagi?

Penulis: Ashraf Nasser

Bantuan dana kepada syarikat produksi diberikan supaya mereka segera siapkan karya-karya dalam tempoh enam bulan ini.
Bantuan dana kepada syarikat produksi diberikan supaya mereka segera siapkan
karya-karya dalam tempoh enam bulan ini.

29 Jul – Selepas pawagam di seluruh negara kembali beroperasi selepas lebih empat bulan ditutup akibat penularan pandemik COVID-19 nampaknya industri perfileman tempatan masih lagi terjejas teruk berikutan ramai penerbit yang tidak mahu menayangkan filem mereka di pawagam buat masa ini kerana bimbang akan rugi besar.

Kebimbangan ini turut diakui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) iaitu Datuk Saifuddin Abdullah yang mana turut menjangkakan industri filem tempatan akan pulih dalam tempoh enam bulan melalui suntikan dana di bawah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Kita mahu keseluruhan industri kreatif diberi fokus termasuklah pada hari ini untuk industri filem kerana seperti komponen-komponen lain, industri filem juga amat terkesan akibat COVID-19, maka kita mahu suntikan ini menghidupkan dan menyegarkan semula industri perfileman.


"Jadi dalam enam bulan ini, memang menjadi matlamat kita untuk melihat industri ini bangkit semula, samada bila sesuatu penerbitan itu siap dan ditayangkan atau juga secepat mungkin iaitu apabila penggambaran sudah bermula, kru penggambaran sudah mula mengecapi nikmat dengan elaun yang mereka peroleh," ujarnya yang dipetik dari Bernama.

Tambahnya lagi selain PELAKSANA, Dana Kandungan Digital (DKD) juga perlu dibelanjakan secepat mungkin bagi memulihkan ekonomi penggiat seni termasuk meneruskan semula penggambaran selain membayar hutang yang tertangguh setelah segala aktiviti seni terpaksa ditunda selama berbulan-bulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS iaitu Ahmad Idham pula menjelaskan PELAKSANA telah dibahagikan kepada tiga inisiatif yang bakal membantu penggiat industri iaitu DKD, Geran Pembangunan Modal Insan dan Pakej Insentif di bawah Skim Wajib Tayang yang mana dana itu berjumlah kira-kira RM50 juta.

Tambahnya lagi, pihaknya memberikan dana kepada syarikat produksi yang boleh siapkan karya secepat mungkin dan jika mereka enggan lakukan penggambaran dalam tempoh itu, pihaknya akan tarik semula dana itu.

Diharap dengan segala bantuan kepada penggiat seni oleh kerajaan dapat merancakkan lagi industri seni tanah air.

(Sumber foto: MPI)

Cinema Online, 29 Julai 2020


Showtimes