Buletin

Irfan Haris rancang kembangkan karier sebagai pelakon

Penulis: Nisa Irina

Irfan Haris akui pernah tolak tawaran berlakon kerana belum bersedia.
Irfan Haris akui pernah tolak tawaran berlakon kerana belum bersedia.

10 Jan – Penyanyi Irfan Haris mendedahkan rancangan untuk memperkembangkan kariernya dan menceburi bidang lakonan setelah tiga tahun bergiat dalam bidang nyanyian.

"Tahun 2020 menjadi tahun di mana saya menyelitkan lakonan sebagai salah satu perancangan karier seni saya. Insya-Allah, sekiranya tawaran yang datang itu sesuai, saya takkan lepaskan.

"Sebelum ini saya pernah menerima tawaran tetapi terpaksa tolak kerana sedar dengan kemampuan saya waktu itu dan saya akui, saya belum bersedia. Jadi, saya terpaksa tolak," katanya yang dipetik dari Harian Metro.


Adik kepada penyanyi dan pelakon Amira Othman itu turut memberitahu dia bakal berpindah ke Kuala Lumpur pada Mac depan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni persembahan.

"Mungkin selepas ini lebih mudah untuk saya mengendalikan kerjaya seni saya apabila menetap di Kuala Lumpur," tambahnya lagi.

Tahun lalu, Irfan telah menyertai program nyanyian "Big Stage" musim kedua di mana dia berjaya mara hingga ke peringkat akhir dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan tersebut.

Menerusi minggu akhir itu juga, Irfan memperkenalkan lagu terbarunya "Honey" ciptaannya bersama abangnya Haiqal Iskandar dan Ubaidillah.

Beralih ke perkembangan lain, penyanyi berusia 19 tahun itu akan kembali berkolaborasi dengan abangnya untuk menghasilkan sebuah lagi lagu terbaru yang bakal dilancarkan antara bulan Mac atau April.

(Sumber foto: Irfan Haris Instagram)

Cinema Online, 10 Januari 2020


Showtimes