Buletin

Ahmad Izham Omar dilantik sebagai pengarah eksekutif Disney+ di Asia Tenggara

Penulis: Florey DM

Datuk Ahmad Izham Omar kini menyertai Syarikat Walt Disney Asia Tenggara.
Datuk Ahmad Izham Omar kini menyertai Syarikat Walt Disney Asia Tenggara.

17 Nov – Selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat produksi Primeworks Studios (PWS) di bawah Media Prima empat hari lalu, Datuk Ahmad Izham Omar mendedahkan dia kini telah menyertai Syarikat Walt Disney Asia Tenggara.

Dia telah berkongsikan jawatan barunya sebagai Pengarah Eksekutif Kandungan & Kreatif, Disney+ menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Variety turut melaporkan berita gembira itu, selepas Disney mengumumkan pelantikannya sebagai pengarah eksekutif bagi platform penstriman itu. Dia akan berpengkalan di Singapura, di bawah Amit Malhotra, Ketua Serantau, Pasaran Baru, Syarikat Walt Disney Asia Tenggara Asia Pasifik.

Malhotra berkata, "(Omar) menyertai kami ketika Disney Plus dalam fasa terpenting untuk melebarkan sayap di Asia Tenggara, dan visi strategik, pengalaman yang luas serta kepimpinan luar biasanya akan menjadi kunci kepada Disney untuk memberi kandungan terbaik bagi pelanggan kami."


Peranan Omar merangkumi "membangunkan dan menerbitkan program original serta memperoleh kandungan, memastikan pelancaran judul sentiasa tersedia. Penerbitan kandungan untuk sukan-sukan utama dan program hiburan umum turut berada di bawah pengawasannya.

Selain memegang jawatan sebagai CEO Primeworks Studios sebelum ini, Omar mempunyai karier media terkenal yang merangkumi sebagai CEO Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) dan mengetuai Rangkaian Radio Media Prima (RRMP). Dia juga terlibat dalam pelancaran servis penstriman video Media Prima, Tonton.

Pada tahun 1990-an, menerusi label rakaman Positive Tone, dia telah menulis dan menerbitkan pelbagai lagu buat ramai artis muzik tempatan. Antara penyanyi yang telah berkerjasama dengannya ialah Siti Nurhaliza, Innuendo, Too Phat dan Poetic Ammo.

Buat masa ini Disney+ masih belum dilancarkan di seluruh rantau Asia Tenggara. Setakat ini ia hanya dilancarkan di Indonesia, di mana ia diberi jenama sebagai Disney Plus Hotstar hasil usaha sama dengan Telkomsel. Tiada tarikh pelancaran ditetapkan di negara-negara lain di rantau itu buat masa ini.

(Sumber foto: Amri Ginang Photography)

Cinema Online, 17 November 2020



You May Also Like:
To read this article in English, CLICK HERE
Showtimes