Buletin

Izreen Azminda tolak tawaran berlakon demi keluarga

Penulis: Nisa Irina

Izreen Azminda banyak luangkan masa bersama keluarga dan berniaga.
Izreen Azminda banyak luangkan masa bersama keluarga dan berniaga.

4 Ogos – Pelakon Izreen Azminda mengakui keluarga merupakan faktor utama mengapa kelibatnya sudah jarang dilihat berlakon di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Menurut pemilik nama penuh Izreen Azminda Aznam itu, dia perlu menurut kata suami, Ude Wahid, yang bimbang jikalau anak-anak mereka akan terabai jika dia terlalu sibuk di set penggambaran.

"Saya akui memang rindu nak terlibat dengan penggambaran. Sudah lebih 11 tahun saya berlakon. Rindu nak kembali aktif seperti dulu tetapi memandangkan saya dah berkeluarga, jadi ia agak menyukarkan.


"Saya banyak juga terima tawaran drama bersiri yang panjang tetapi buat masa sekarang saya tak dapat nak berikan komitmen sepenuhnya. Suami pun tak benarkan.

"Dia takut nanti tak ada orang yang boleh jaga anak-anak kami. Saya pula jenis tak percaya orang jaga anak. Nak minta tolong ibu, dia pun dah tak larat," jelasnya menerusi laporan mStar Online.

Seperti yang dikongsikan menerusi laman Instagram miliknya, pelakon filem "Nana Tanjung 2" itu lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pada masa yang sama, Izreen aktif membantu para peniaga tempatan dalam talian dengan membuat ulasan produk-produk yang dijual menerusi media sosial.

Malah, Izreen turut memulakan perniagaannya sendiri iaitu Sugar Butter Milk KL, yang merangkumi pencuci mulut seperti apam pisang, apam coklat dan puding raja.

(Sumber foto: Izreen Azminda Instagram)

Cinema Online, 4 Ogos 2020


Showtimes