Buletin

Jalil Hamid tak kisah dilabel 'kuno'

Penulis: Ashraf Nasser


Jalil Hamid akan terus lantang bersuara demi memperjuangkan nasib anak seni.

6 Jan – Pelakon veteran Jalil Hamid mengakui dia tidak kisah sekiranya dirinya dilabel sebagai 'kuno' atau tidak berfikiran terbuka kerana dia enggan bersubahat dalam perkara negative dan tidak takut untuk menegur sekiranya ternampak pelakuan kurang manis di set penggambaran.

"Jika ada kejadian tidak manis dipandang mata atau babak yang kurang sesuai, saya sedia buka mulut. Budaya kita sudah cukup cantik, kenapa perlu sogok penonton dengan adegan seperti bersentuhan, berpelukan dan sebagainya?


"Saya tidak peduli jika dianggap kuno apabila suka menegur perkara seperti itu. Kebiasaannya saya akan tegur secara berdepan, namun tidak semua boleh terima. Ramai juga yang sentap, malah siap menyindir, jika seperti itu lebih baik saya jangan berlakon," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah Jalil lagi, sekiranya pelakon itu seorang pelakon yang bagus, sudah pasti dia dapat menterjemah emosi dan situasi hanya dengan bahasa tubuh serta intonasi suara tanpa perlu bersentuhan.

Pelakon berusia 62 tahun itu sememangnya terkenal dengan sikapnya yang lantang dalam memperjuangkan nasib anak seni, termasuklah soal bayaran tidak masuk akal kepada pelakon veteran.

(Sumber foto: Kopi Planet)

Cinema Online, 6 Januari 2020


Showtimes