Buletin

Janna Nick tak fikir panjang untuk bintangi filem "Pasal Kau"

Penulis: Ashraf Nasser

Janna Nick bergandingan dengan Hairul Azreen sebagai peneraju dalam "Pasal Kau".
Janna Nick bergandingan dengan Hairul Azreen sebagai peneraju dalam "Pasal Kau".

25 Sep – Pelakon popular Janna Nick memberitahu dia tidak fikir panjang untuk menerima tawaran berlakon filem "Pasal Kau" kerana enggan tolak peluang kedua untuk berlakon di bawah arahan pengarah terkemuka Adrian Teh.

Menurut Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, kali pertama dia mendapat tawaran dari Adrian dia terpaksa menolak kerana pelanggaran jadual penggambaran.

"Apabila saya ditawarkan untuk filem "Pasal Kau" oleh Adrian saya tidak fikir panjang dan terus bersetuju kerana saya memang nak sangat bekerjasama dengannya tetapi tidak kesampaian sebelum ini akibat perlanggaran jadual penggambaran," ujarnya.

Tambah Janna lagi, dia berasa bertuah kerana menjadi pilihan Adrian kerana sedar ramai lagi pelakon-pelakon hebat di luar sana yang ingin bekerjasama dengan pengarah pecah panggung itu. Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam "Pasal Kau", Janna berkata dia sekali lagi menjayakan watak sebagai gadis yang bersikap 'tomboy'.


"Memang watak gadis bersikap 'tomboy' ini pernah saya bawa dalam lakonan saya sebelum ini, namun ia tetap memberi cabaran kepada saya kerana saya perlu memastikan watak sebagai Jane tidak sama dengan watak yang pernah saya jayakan sebelum ini."

Dalam pada itu, Janna turut mengakui berasa seronok dan tidak tertekan langsung sepanjang penggambaran berlangsung kerana merasakan seperti sedang bekerja sambil bercuti apabila penggambaran filem itu berlangsung di hotel.

Malah pengarah, barisan pelakon dan produksi sangat profesional sekaligus melancarkan perjalanan penggambaran filem tanpa sebarang masalah.

Menerusi filem ini, Janna bergandingan dengan pelakon popular Hairul Azreen sebagai watak utama.

Apa yang lebih menarik adalah pengarah menampilkan barisan pelakon dari filem "Paskal The Movie" dan "Wira" sekaligus menampilkan sisi yang cukup berbeza dalam filem romantik komedi ini.

Antara pelakon tersebut adalah Namron, Amerul Affendi, Henley Hii, Theebaan G, Taufiq Hanafi, Josiah Hogan, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

"Pasal Kau" pada mulanya dijadualkan untuk tayangan di pawagam, namun akibat pandemik COVID-19, filem terbitan Act 2 Pictures ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman video popular Netflix bermula 1 Oktober ini.

(Sumber foto: Janna Nick Instagram)

Cinema Online, 25 September 2020


Showtimes