Buletin

Filem "Juang" diarahkan oleh 6 pengarah & dibintangi 100 pelakon

Penulis: Ashraf Nasser

Tiga penerbit "Juang" iaitu Datuk Rosyam Nor, Jack Lim & Matt Lai.
Tiga penerbit "Juang" iaitu Datuk Rosyam Nor, Jack Lim & Matt Lai.

25 Sep – Sebuah lagi filem berskala besar tempatan bakal dihasilkan yang diberi judul "Juang" yang mana ia mencipta sejarahnya tersendiri apabila bakal diarahkan oleh enam pengarah terkenal dan dibarisi 100 pelakon.

Filem yang diterbitkan oleh tiga syarikat produksi tempatan iaitu Asia Tropical Films, The Film Engine dan Suhan Movies Trading Sdn Bhd akan berkisarkan mengenai pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurut salah seorang penerbit iaitu Datuk Rosyam Nor, pemilihan enam pengarah iaitu Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima untuk menggarap filem mega ini dipilih berdasarkan trek rekod yang hebat dalam dunia perfileman.

"Kami bertemu ramai pengarah bagi merealisasikan projek mega ini. Kami melihat siapa yang sudi bekerjasama selepas membentangkan idea. Untuk mendapat apa yang diinginkan, kami memilih orang yang mahu bekerja dengan kami.


"Lagipun, enam pengarah ini mempunyai pengalaman luas dalam dunia perfileman jika melihat kepada trek rekod. Saya sentiasa percaya, kita memerlukan seseorang yang matang untuk menghasilkan karya yang mampu menyakinkan penonton," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah Rosyam lagi, dia percaya dengan kemampuan keenam-enam pengarah ini yang masih lagi hebat dalam mengarah selain tidak terlalu fikir soal bayaran kerana mereka mahu jayakan filem itu sebagai satu sumbangan dan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan.

Dalam pada itu, Rosyam berkata butiran lanjut mengenai filem seperti jalan cerita dan jadual penggambaran akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Juang" akan dibintangi oleh Zizan Razak, Zul Ariffin, Jack Lim dan ramai lagi yang mana nama mereka akan turut didedahkan tidak lama lagi.

(Sumber foto: BH Online)

Cinema Online, 25 September 2020


Related Movies:
Lee Chong Wei (English / Malay / Mandarin) (15 Mar 2018)
KL Special Force (Malay) (08 Mar 2018)
Kabali (Tamil) (22 Jul 2016)

Jwplayer article page COSG
Showtimes