Buletin

Kakak Alia Bhatt, Shaheen dedah mesej ugutan bunuh dan rogol di media sosial

Penulis: Nisa Irina

Shaheen Bhatt tidak teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap si pelaku.
Shaheen Bhatt tidak teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap si pelaku.

15 Jul – Kakak kepada aktres Alia Bhatt, Shaheen Bhatt tampil mendedahkan mesej-mesej berbaur ugutan bunuh dan rogol yang dihantar kepada keluarga, dirinya serta aktres itu sendiri menerusi media sosial.

Ia berhubung kait dengan kematian aktor Sushant Singh Rajput yang menyebabkan Alia menerima kecaman hebat daripada warganet kerana pernah mendakwa tidak mengenali aktor tersebut dalam sebuah rancangan bual bicara terkenal.

Shaheen, yang merupakan seorang penulis, berkongsikan beberapa tangkapan skrin mesej-mesej itu di laman Instagram dan menegaskan bahawa dia akan mengambil tindakan dengan mendedah serta melaporkan para pelaku kepada pihak berkuasa.

"Adakah ini mengejutkan kamu? Mengapa? Ia tidak mengejutkan saya. Saya ingin memberitahu kepada kamu semua yang merasakan ianya okay untuk menghantar mesej-mesej itu kepada saya atau sesiapa sahaja.


"Jika kamu menghantarnya, mesej atau komen itu akan disekat dan dilaporkan kepada Instagram. Hak privasi kamu akan hilang. Saya TIDAK AKAN melindungi identiti kamu. Saya akan dedahkan semua mesej kamu kepada orang ramai.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang. Sekiranya kamu fikir kami tidak akan dapat dijejaki kerana akaun anda tidak dikenali, fikir semula – alamat IP mudah untuk dijejaki. Ini adalah satu jenayah," tulisnya menerusi Instagram.

Tambahan lagi, Shaheen turut menyatakan bahawa pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk mendedahkan perkara ini di media sosial tetapi mengubah fikiran kerana dia mahu menjadikan media sosial suatu platform yang selamat buat golongan wanita.

(Sumber: Shaheeen Bhatt Instagram)
(Sumber foto: Shaheeen Bhatt Instagram)

Cinema Online, 15 Julai 2020


Showtimes