Buletin

Kakak Sushant Singh Rajput, Shweta Singh Kirti kongsi kenangan kanak-kanak mereka

Penulis: Nisa Irina

Shweta Singh Kirti berpindah ke Amerika Syarikat selepas berkahwin pada 2007.
Shweta Singh Kirti berpindah ke Amerika Syarikat selepas berkahwin pada 2007.

29 Jul – Kakak kepada aktor Bollywood Sushant Singh Rajput, Shweta Singh Kirti mengakui masih terkesan dengan pemergian adiknya yang meninggal dunia akibat bunuh diri sejak sebulan lalu.

Sehubungan dengan itu, Shweta meluahkan isi hatinya menerusi media sosial dengan berkongsikan memori lama antara dia dan Sushant sewaktu zaman kanak-kanak.

"Saya sedang merasakan keperitan. Ketika saya cuba menyesuaikan diri ke arah yang lebih baik, beberapa insiden kembali ke memori dan menghancurkan hati saya.

"Saya berkongsikannya kerana orang cakap lebih banyak kita kongsikan kesedihan kita, lebih kurang perit yang dirasai," tulis Shweta di laman Facebook miliknya.

Menurut Shweta, dia tidak pernah berpeluang mengenali abang sulungnya yang meninggal dunia sewaktu kecil dan akhinya keluarga mereka dikurniakan seorang lagi anak lelaki iaitu Sushant selepas dua tahun.


Tambahnya lagi, ibunya menggelarnya Laskhmi Ji kerana memberi tuah kepada keluarga mereka dan sejak hari itu, dia mula bersikap mengongkong terhadap Sushant kerana dia merasakan dia bertanggungjawab atas kehadiran adiknya itu.

Selain itu, Shweta turut berkongsikan pengalaman ketika kedua-dua mereka berada di sekolah, di mana Sushant akan datang ke kelasnya kerana mengalami 'anxiety' (kerisauan melampau) dan berasa sunyi.

Shweta yang kini menetap di California, Amerika Syarikat, selepas berkahwin pada 2007 mengakui berasa sedih untuk tinggal berasingan dan jauh daripada Sushant.

"Kami berdua semakin sibuk dengan kehidupan masing-masing. Dia menceburi Bollywood dan membuatkan kami semua bangga dengan pencapaiannya tetapi saya tetap mengongkongnya.

"Saya sering mengajaknya untuk datang melawat saya di Amerika Syarikat supaya kami berdua dapat menghidupkan kembali zaman kanak-kanak kami," tulisnya.

Sushant, yang dilihat berlakon dalam filem terakhirnya, "Dil Bechara", meninggal dunia di kediamannya pada 14 Jun 2020 selepas menggantung diri akibat kemurungan.

(Sumber: Shweta Singh Kirti Facebook)
(Sumber foto: Shweta Singh Kirti Facebook)

Cinema Online, 29 Julai 2020


Showtimes