Buletin

Karan Johar dedahkan bintang Bollywood yang menjadi idola Kajol

Penulis: Nisa Irina

Kajol pernah minta Karan Johar mencari Akshay Kumar di sebuah majlis tayangan perdana filem.
Kajol pernah minta Karan Johar mencari Akshay Kumar di sebuah majlis tayangan perdana filem.

18 Nov – Bintang ikonik Bollywood, Kajol kini bahagia hidup berumah tangga dengan aktor dan pembikin filem Ajay Devgn serta sering berkongsi keserasian di skrin lebar bersama 'Badshah of Bollywood', Shah Rukh Khan.

Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah apabila kedua-dua aktor kacak itu bukanlah aktor yang diminati Kajol suatu masa dahulu, tetapi aktor dan penerbit filem aksi Akshay Kumar!

Memetik laporan dari Times of India, dalam salah satu episod rancangan bual bicara Kapil Sharma, rakan baik Kajol yang juga pembikin filem Bollywood tersohor, Karan Johar mendedahkan Kajol sangat meminati 'Khiladi of Bollywood' itu.


Kata Karan, atau lebih dikenali sebagai KJo, ketika mereka sama-sama menghadiri majlis tayangan perdana filem Rishi Kapoor, "Henna" (1991), Kajol telah memintanya mencari Akshay di sepanjang majlis itu berlangsung.

Bagaikan bulan jatuh ke riba, Kajol telah digandingkan dengan idolanya menerusi filem arahan Naresh Malhotra, "Yeh Dillagi" dan filem itu turut menampilkan Saif Ali Khan.

Kali terakhir Kajol dilihat berlakon adalah menerusi filem sejarah "Tanhaji: The Unsung Warrior" bersama Ajay Devgn dan filem pendek yang mengetengahkan wanita, "Devi".

Dalam perkembangan lain, Kajol akan muncul dalam filem "Tribhanga" terbitan Ajay Devgn, yang mana filem itu akan ditayangkan menerusi sebuah portal penstriman video berbayar.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: India Glitz)

Cinema Online, 18 November 2020


Showtimes