Buletin

Keluarga bekas pengurus Sushant Singh Rajput minta hentikan spekulasi palsu

Penulis: Nisa Irina

Disha Salian dilaporkan mengalami kemurungan sebelum kematiannya.
Disha Salian dilaporkan mengalami kemurungan sebelum kematiannya.

8 Jul – Keluarga pengurus selebriti Disha Salian, yang juga bekas pengurus aktor Sushant Singh Rajput, meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan spekulasi dan teori konspirasi berkenaan kematiannya.

Baru-baru ini timbul spekulasi tentang kematian Disha pada Jun lalu yang dikaitkan dengan aktor Sooraj Pancholi namun Sooraj segera tampil menafikannya dan memberitahu bahawa dia tidak mengenali Disha.

"Kepada sesiapa yang membaca, kamu mungkin mengenali atau tidak mengenali kami dan Disha secara rapat. Tetapi kita semua ada satu persamaan. Kita semua manusia dan ada perasaan. Jadi kami harap anda semua memahami keperitan kami.


"Kami telah kehilangan orang yang kami sayang. Kehilangan ini terlalu berat untuk dihadapi. Ia adalah waktu yang sukar buat kami dan kami sedang mencuba menerima pemergiannya.

"Namun pada masa sama, apa yang lebih mengecewakan adalah apabila timbul beberapa spekulasi dan teori konspirasi yang bukan sahaja palsu tetapi juga mengganggu emosi ibu bapanya dan orang-orang tersayang.

"Sementara kami masih meratap atas kehilangan kami, kami hanya mempunyai satu permintaan kepada anda semua. Bantulah kami dengan tidak menyebarkan spekulasi dan berita palsu di media sosial yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan atas kematian seseorang.

"Disha adalah anak perempuan, adik atau kakak, dan juga kawan kepada seseorang. Anda semua mempunyai seseorang yang memegang peranan itu dalam hidup anda. Bagaimana perasaan anda jika ia berlaku kepada orang yang anda sayangi?

"Empati adalah kualiti asas yang menjadikan kita manusia. Jadi jadilah manusia yang berguna. Biarkan dia pergi dengan tenang dan mari sebarkan kebaikan – Keluarga dan rakan-rakan Salian," tulis kenyataan yang dipetik dari The New Indian Express.

Disha meninggal dunia pada 8 Jun akibat terjatuh dari tingkat 14 pangsapurinya di Malad. Sebelum kematiannya, difahamkan pengurus selebriti itu mengalami kemurungan dan berselisihan faham dengan tunangnya Rohan Rai pada malam kejadian.

(Sumber: The New Indian Express)
(Sumber foto: Report Door)

Cinema Online, 8 Julai 2020


Showtimes