Buletin

Kes kematian Sushant Singh Rajput masih dalam siasatan

Penulis: Nisa Irina

Sehingga kini tiada laporan lengkap mengenai kes Sushant Singh Rajput.
Sehingga kini tiada laporan lengkap mengenai kes Sushant Singh Rajput.

17 Okt – Biarpun aktres Bollywood Rhea Chakraborty telah dibebaskan dari penjara dengan ikat jamin, namun Biro Siasatan Pusat India (CBI) memaklumkan bahawa kes kematian aktor Sushant Singh Rajput masih berada dalam siasatan.

Ia susulan terdapat beberapa portal berita melaporkan Pasukan Penyiasat Khas yang mengendalikan kes itu telah menamatkan proses penyiasatan dan bakal menghantar laporan ke mahkamah di Bihar dalam waktu terdekat.


"Biro Siasatan Pusat India (CBI) akan meneruskan siasatan kematian Sushant Singh Rajput. Terdapat beberapa laporan spekulasi di media yang menyatakan CBI telah selesai menyiasat.

"Adalah diulangi bahawa laporan-laporan ini bersifat spekulatif dan tidak benar sama sekali," umum CBI dalam sebuah kenyataan yang dipetik dari NDTV.

Dalam pada itu, Dr. Sudhir Gupta yang mengetuai pasukan forensik bagi mengendalikan mayat aktor itu memaklumkan bahawa keputusan bedah siasat masih belum diklasifikasikan buat masa ini.

Selain itu, pihak Biro Kawalan Narkotik India (NCB) juga telah menyerahkan 15 buah telefon pintar kepada Direktorat Sains Forensik (DFS) untuk menyiasat data dan kandungannya.

Walau bagaimanapun, pihak mereka enggan mendedahkan kesemua pemilik alat komunikasi tersebut.

Kematian Sushant Singh Rajput pada 14 Jun lalu telah mengejutkan industri Bollywood. Aktor filem "Chhichhore" dipercayai mengalami kemurungan selama beberapa bulan sebelum membunuh diri.

(Sumber: NDTV)
(Sumber foto: Filmfare)

Cinema Online, 17 Oktober 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes