Buletin

Kes Rhea Chakraborty tiada beza dengan kes aktres ikonik, Rekha

Penulis: Nisa Irina

'Witch Hunt' melibatkan Rhea Chakraborty serupa dengan apa yang dihadapi Rekha dahulu.
'Witch Hunt' melibatkan Rhea Chakraborty serupa dengan apa yang dihadapi Rekha dahulu.

16 Sep – Aktres Bollywood Rhea Chakraborty dituduh menjadi salah satu punca kematian kekasihnya dan aktor, Sushant Singh Rajput, bukanlah selebriti wanita pertama menjadi mangsa tuduhan sebegitu dalam industri tersebut.

Memetik laporan dari India Times, kes yang sama pernah berlaku sebelum ini apabila aktres ikonik Rekha juga menjadi mangsa tuduhan atas punca suaminya, Mukesh Agarwal, bertindak membunuh diri.

Pada Oktober 1990, tujuh bulan selepas perkahwinan mereka, Rekha yang berada di London untuk sebuah persembahan telah dimaklumkan bahawa suaminya ditemui tidak bernyawa selepas menggantung diri di kediamannya.


Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah hitam dalam hidup Rekha apabila dia mula kehilangan para peminat setianya, poster filem-filem barunya dibakar, dan difahamkan selebriti-selebriti Bollywood dihalang untuk bertemu atau bekerja dengannya.

"Saya rasa selepas ini keluarga-keluarga terhormat akan berfikir panjang sebelum menerima mana-mana aktres sebagai menantu dalam keluarga mereka," ujar pengarah Subhash Ghai susulan kes tersebut.

Biarpun tiada siapa yang tahu kebenaran di sebalik kes itu, namun segala tuduhan yang dilemparkan oleh orang ramai terhadap Rekha menjadi punca utama aktres itu dituduh sebagai pesalah. Kes itu juga tiada beza seperti kes Rhea.

Seperti Mukesh, Sushant juga dijumpai menggantung diri di kediamannya pada Jun lalu akibat mengalami kemurungan. Sehingga kini, kes melibatkan Rhea masih berada dalam siasatan Biro Siasatan Pusat India (CBI) dan Biro Kawalan Narkotik India (NCB).

(Sumber: India Times)
(Sumber foto: Deccan Herald & Rhea Chakraborty Instagram)

Cinema Online, 16 September 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes