Buletin

Khir Rahman tiada masalah bintangi telefilem bersama Ogy Ahmad Daud

Penulis: Nisa Irina

Khir Rahman akui tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak.
Khir Rahman akui tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak.

29 Jun – Biarpun isu bayaran tertunggak pementasan teater Korupsi Dewan Senandung masih belum selesai, namun pengarah dan pelakon Khir Rahman masih bersikap profesional untuk berganding dengan Ogy Ahmad Daud dalam sebuah telefilem khas Aidiladha.

Menurut Khir, atau nama asalnya Khairulizam Abdul Rahman, dia enggan membesar-besarkan isu berkenaan ketika berada di lokasi penggambaran telefilem berjudul "Pencipta Pegang Waktu" itu, memandangkan ia tiada kaitan dengan pihak produksi.

"Ini kali pertama kami bergandingan semula selepas isu itu. Saya perlu bersikap profesional di lokasi penggambaran sebab yang ada masalah hanya kami berdua, tenaga kerja lain tak ada kaitan, jadi tak bolehlah bawa masalah itu ke lokasi.

"Saya sebagai pihak yang menuntut hutang mungkin tak rasa janggal sangat, tetapi di pihak dia mungkin ada rasa lain! Apa-apa pun saya cuba elakkan rasa serba salah itu supaya penggambaran kami semua lancar.


"Alhamdulillah, proses penggambaran berjalan dengan baik tanpa timbul sebarang isu. Kami dah kenal lama dan industri kita pun kecil, ke mana pergi tetap akan berjumpa," katanya yang dipetik dari laporan mStar Online.

Malah Khir turut memuat naik sebuah video di laman Instagram bagi menjelaskannya apabila ramai pihak bertanyakan tentang isu tersebut. Ujar Khir, biarpun dia tidak menyimpan perasaan dendam terhadap mana-mana pihak, tetapi dia akan tetap akan menuntut haknya.

Isu tentang bayaran tertunggak itu timbul apabila beberapa pelakon teater berkenaan tampil bersuara dan mendakwa Ogy, selaku penerbit, enggan melunaskan bayaran mereka pada Mei lalu.

Walau bagaimanapun, Ogy telah tampil menjelaskan bahawa dia sedang berusaha untuk mencari dana bagi melangsaikan bayaran-bayaran pelakon yang tertunggak.

Berbalik kepada telefilem "Pencipta Pegang Waktu", sesi penggambaran yang baru sahaja berakhir pada Isnin itu turut menampilkan pelakon Que Haidar. Telefilem itu dijangka akan ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha 2020 di TV3.

(Sumber foto: Khir Rahman & Naziruzzaman Nazlly Instagram)

Cinema Online, 29 Jun 2020


Related Movies:
Bulan Dan Pria Terhebat (Malay) (12 Mar 2020)
Showtimes