Buletin

Kodi Rasheed idam jadi pelakon versatil

Penulis: Nisa Irina


Kodi Rasheed membawa watak samseng bernama Apai dalam "M4M4".

5 Feb – Sekian lama sering dilihat menjayakan watak antagonis, pelakon Kodi Rasheed akhirnya memberitahu dia kini bersedia untuk melangkah keluar dari zon selesa dan menjadi seorang pelakon versatil.

Terbaru, Kodi atau nama sebenarnya Mohd Shazmeer Mohd Rasheed, bakal tampil dalam filem thriller seram terbaru arahan Eyra Rahman berjudul "M4M4", yang mana dia memegang watak samseng dan penagih dadah bernama Apai.

Menurut Kodi, watak Apai merupakan salah satu watak yang paling berat dan mencabar sepanjang menapak dalam dunia lakonan, memandangkan dia berjaya memberi kelainan kepada watak tersebut.

"Sejujurnya tak ada watak terperinci yang saya idamkan kerana saya nak jadi pelakon versatil, jadi kalau boleh saya sentiasa ingin cuba sesuatu yang baru. Lagi berat watak itu, lagi saya suka seperti dalam filem "M4M4".


"Saya menerima tawaran filem ini kerana tertarik dengan skrip, jadi memandangkan saya dapat watak antagonis lagi, saya cuba bawakan kelainan kepada watak ini. Selepas itu saya ambil masa untuk kaji semula dan banyak berbincang dengan Kak Eyra.

"Walaupun Kak Eyra ada memberi beberapa rujukan, tetapi saya tak dapat gunakan semua kerana ia sama seperti watak yang pernah saya bawa sebelum ini.

"Jadi saya ciptakan watak Apai ini sebagai seorang yang janggal dan pendiam," katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "M4M4" yang diadakan di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Antara persiapan Kodi untuk filem ini ialah menonton beberapa filem thriller dan psiko, berbincang dengan rakan pelakon lain serta menggunakan pengalaman menyertai operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjayakan watak penagih dadah.

Filem "M4M4" menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Yusry Abd Halim, Bella Dowanna, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali, Izzy Reef dan pelakon cilik Amanda Hariz.

"M4M4" akan menemui penonton di pawagam bermula 6 Februari ini.

Beralih ke perkembangan lain, Kodi akan membintangi dua buah filem terbaru iaitu "Bikin Filem" arahan Latiff Zami dan "Masterpiecisan" arahan Nam Ron, yang kini dalam proses pos-produksi.

Cinema Online, 5 Februari 2020


Showtimes