Buletin

Lara Dutta bakal bekerjasama dengan produksi United Kingdom

Penulis: Nisa Irina

Lara Dutta tidak akan bintangi filem baru yang diterbitkannya.
Lara Dutta tidak akan bintangi filem baru yang diterbitkannya.

21 Mac – Aktres dan model Lara Dutta mendedahkan dia bakal menerbitkan sebuah filem baru dengan kerjasama sebuah syarikat produksi berpangkal di United Kingdom.

"Kini saya dalam proses penerbitan sebuah filem bersama syarikat produksi di United Kingdom. Semuanya telah bersedia sepenuhnya tetapi terpaksa ditangguhkan sementara kerana Coronavirus.

"Ia adalah sebuah kisah berlatarbelakangkan India. Ia bukan filem fiksyen dan berdasarkan fakta, lebih kurang filem "Lion" (2016) atau "Million Dollar Arm" (2014).

"Saya hanya bertindak sebagai penerbit dan tidak akan membintangi filem ini kerana saya terikat dengan dua projek lain," jelasnya seperti yang dilaporkan menerusi Times of India.

Walau bagaimanapun, Lara masih belum mendedahkan butiran mengenai judul mahupun barisan pelakon yang akan membintangi filemnya itu.


Kali terakhir bekas ratu cantik Miss Universe itu dilihat berlakon di layar perak adalah menerusi filem "Welcome To New York" bersama Riteish Deshmukh, Sonakshi Sinha dan Karan Johar pada 2018.

Dalam perkembangan lain, Lara bakal dilihat membintangi sebuah siri web terbitan Nikkhil Advani berjudul "Shekhwati" yang akan ditayangkan menerusi portal penstriman video Hotstar.

Selain itu, dia juga dipilih untuk berlakon dalam sebuah siri web sembilan episod berjudul "100" yang turut ditayangkan di Hotstar.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Lara Dutta Instagram)

Cinema Online, 21 Mac 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes