Buletin

Lara Dutta tak selesa dibandingkan dengan Priyanka Chopra

Penulis: Nisa Irina

Lara Dutta berasa gembira dengan perjalanan karier sendiri tanpa perlu dibandingkan.
Lara Dutta berasa gembira dengan perjalanan karier sendiri tanpa perlu dibandingkan.

2 Jun – Setelah berdepan kritikan orang ramai selama bertahun-tahun, aktres Lara Dutta akhirnya membuka mulut gara-gara tidak selesa kerana sering dibandingkan dengan Priyanka Chopra Jonas.

Seperti sedia maklum, Lara dan Priyanka merupakan juara pertandingan ratu cantik Miss India dan masing-masing telah dinobatkan sebagai Miss Universe dan Miss World sebelum kedua-duanya menceburi bidang lakonan.

Walau bagaimanapun, perjalanan karier Lara telah dikritik ramai kerana dia tidak mengikut jejak langkah Priyanka untuk menerima tawaran membintangi filem-filem Hollywood.

Baru-baru ini, sebuah akaun media sosial telah memuat naik sebuah video di mana bintang filem "Partner" itu membidas soalan yang diajukan oleh seorang wartawan ketika berada di sebuah majlis khas Miss Universe India tahun lalu.


"Apa yang awak mahu? Awak mahu lihat dua wanita menjadi klon diri masing-masing? Jika seorang ke kiri, seorang lagi pun perlu ikut juga? Jika seorang ke kanan, jadi seorang lagi perlu ikut juga?

"Mengapa awak banggakan kami sebagai warganegara India? Jika awak mahu dua wanita mengikut jejak langkah yang sama jadi apa yang istimewa tentang kami?

"Kami semua kini berada dalam fasa kehidupan yang berbeza dan masing-masing gembira. Kami tak nampak gembira ke pada awak?" ujarnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambah Lara lagi, sehingga kini dia masih kekal berhubung dengan Priyanka serta aktres Dia Mirza, yang juga juara pertandingan Miss Asia Pacific 2000 kerana menganggap kedua-dua wanita itu sebahagian daripada hidupnya.

Biarpun tidak meneruskan bakat lakonannya di persada antarabangsa, namun Lara masih berjaya mencipta nama dalam industri perfileman tanah airnya dengan filem-filem seperti "Andaaz", "No Entry" dan "Om Shanti Om".

Kali terakhir Lara dilihat berlakon di layar perak adalah pada 2018 menerusi filem "Welcome To New York", yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Ritesh Deshmukh, Sonakshi Sinha dan Karan Johar.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Lara Dutta & Priyanka Chopra Instagram)

Cinema Online, 2 Jun 2020


Showtimes