Buletin

"Rock 4" perjuangkan legasi rock kepada generasi milenial

Penulis: Nisa Irina

Kumpulan Rimba Bara 2 bersama pengarah Mamat Khalid.
Kumpulan Rimba Bara 2 bersama pengarah Mamat Khalid.

13 Feb – Pengarah tersohor Mamat Khalid memberitahu penerbitan filem keempat dari francais "Rock" iaitu "Rock 4: Rockers Never Dai" bertujuan untuk memperjuangkan legasi muzik rock kepada generasi milenial pada masa kini.

"Sememangnya jalan cerita "Rock" akan berhenti sampai filem ketiga sahaja, tetapi perasaan rindu terhadap suasana rock itu yang menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan "Rock 4" ini.

"Banyak lagi kisah-kisah mendalam tentang muzik rock yang saya rasa orang ramai perlu tahu terutamanya golongan muda yang langsung tak kisah tentang muzik rock. Saya harap mereka sedar akan keunikan irama rock yang menusuk jiwa dari dulu.

"Saya yakin naskhah terbaru saya ini bukan sahaja mampu menarik semua lapisan masyarakat untuk menonton, malah ia bakal menjadi fenomena baru kepada generasi moden untuk mengenali muzik-muzik rock era 80-an dan 90-an," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Rock 4" di mmCineplexes eCurve, Petaling Jaya, semalam.

Seperti yang sedia maklum, Mamat Khalid berdepan ujian berat ketika menghasilkan filem ini apabila dimasukkan ke hospital akibat masalah sesak nafas yang berpunca daripada lebihan air dalam badan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, pelakon utama Sharwani NS yang kembali menjayakan watak sebagai Ronnie James a.k.a Dio berkata, tiadanya Mamat Khalid di set penggambaran merupakan cabaran buatnya apabila dia perlu menggunakan semula pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah itu untuk memberi tunjuk ajar kepada barisan pelakon baru.

"Pengalaman bekerja bersama Abang Mamat serta tunjuk ajar daripada penolong pengarah yang cukup rapat dengan dia banyak membantu untuk saya membantu pelakon-pelakon baru.

"Selepas selesai penggambaran, Abang Mamat melihat semula rakaman-rakaman dan Alhamdulillah, dia sangat berpuas hati dengan hasil kerja kami," tambahnya yang turut hadir memeriahkan acara tersebut.


Persembahan daripada Datuk Hattan dan Mamat Khalid.

Malam gala tayangan perdana filem itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada kumpulan Pau dan Datuk Hattan yang menyampaikan beberapa buah lagu rock zaman 90-an popular seperti "Sejati", "Gerhana" dan "Apokalips".

"Rock 4" merupakan kesinambungan kepada filem "Rock Bro!" di mana selepas kemalangan yang menimpa kumpulan Rimba Bara, Dio hidup dalam koma selama belasan tahun. Apabila sedar, dia mendapati era muzik sudah berubah secara drastik dan tidak lagi menampilkan bakat nyanyian sebenar.

Dalam pada menyesuaikan diri dengan muzik moden, Dio sering mengimbau kenangan bersama Rimba Bara. Tekad untuk memperjuangkan era kegemilangan industri muzik rock, Dio akhirnya berjaya menubuhkan kumpulan Rimba Bara 2.

Selain Sharwani, kumpulan Rimba Bara 2 terdiri daripada barisan penyanyi dan pelakon baru iaitu Hazama, Adam John, Bulan Terry dan Nazimi Fahmi. Turut membuat penampilan khas dalam filem itu ialah bekas kumpulan Rimba Bara, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim, serta Dato' Awie, Kamarool Hj Yusof, Edrie Hashim, Tam Spider dan ramai lagi.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Rimba Bara 2 dalam filem "Rock 4: Rockers Never Dai" yang bakal menggegarkan pawagam di seluruh Malaysia bermula 20 Februari ini!

Cinema Online, 13 Februari 2020


Related Movies:
Rock Bro!: Kembali Ke Pangkal Jalan (Malay) (01 Dec 2016)
Showtimes