Buletin

"M4M4" kutip RM2.5 juta selepas 2 minggu

Penulis: Ashraf Nasser

Salah satu babak meruntun jiwa dalam "M4M4".
Salah satu babak meruntun jiwa dalam "M4M4".

19 Feb – Filem seram thriller "M4M4" telah membuktikan kehebatannya apabila berjaya meraih kutipan RM2.5 juta selepas dua minggu tayangannya di pawagam di seluruh negara.

Walaupun penerbit filem ini iaitu Datin Norliza Samion tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap kutipan filem, namun dia bersyukur dan teruja apabila sambutan yang diterima terhadap "M4M4" sangat memberangsangkan.

"Sudah tentu saya berasa gembira dengan sambutan memberangsangkan yang diberikan peminat filem tempatan. Di sebalik kerisauan mengenai COVID-19, penonton tetap keluar menonton filem ini.

"Keunikan serta kekuatan jalan cerita "M4M4" menjadi penyebab utama mereka turun memberikan sokongan dengan menonton filem ini.

Tambah Norliza lagi, antara faktor lain yang menyumbang kepada sambutan hangat daripada penonton adalah penonton yang sudah menonton dan memberikan komen positif di media sosial masing-masing, sekaligus memberikan keyakinan kepada penonton baru.


Filem arahan Eyra Rahman yang mula ditayangkan pada 6 Februari lalu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Norliza turut mendedahkan pihak iaitu Da Motion Media kini dalam perancangan untuk menghasilkan "M4M4 2".

"Kita mungkin boleh olah jalan cerita selepas kisah pembalasan dendam si ibu, itu semua masih dalam perancangan kami untuk menerbitkan "M4M4 2".

Ketika ini tayangan "M4M4" sudah pun memasuki minggu ketiga dan ia terus ditayangkan di 101 pawagam di seluruh negara.

Cinema Online, 19 Februari 2020


Related Movies:
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)
Showtimes