Buletin

Mhia Farhana nekad sambung legasi bapa

Penulis: Nisa Irina


Mhia dan ibunya Farah Ahmad adalah peneraju utama filem "Roh".

9 Mac – Demi menunaikan hasrat bapanya Allahyarham Pitt Hanif untuk melihatnya berlakon di layar perak, pelakon remaja Mhia Farhana akhirnya dipilih untuk menjadi peneraju filem seram terbaru terbitan Kuman Pictures berjudul "Roh".

Menurut Mhia yang sekian lama menceburi bidang seni tari, dia ingin menerokai cabang lain dalam industri seni dan hiburan terutamanya lakonan dan pengarahan.


Buat pengetahuan lanjut, Mhia membuat debut dalam bidang lakonan menerusi telefilem arahan arwah Pitt, "Potret Moyang" (2019), yang turut dibintangi ibunya Farah Ahmad dan neneknya Fauziah Nawi.

"Kalau boleh saya ingin meneruskan legasi arwah ayah dalam bidang seni untuk membantu diri saya dan keluarga. Saya harap apabila meningkat dewasa nanti saya dapat menjadi pengarah seperti arwah ayah.

"Sebagai seorang pengarah, imaginasi dan visi arwah ayah sangat tinggi. Ideanya memang tiada tandingan. Jadi saya anggap perkara itu sebagai satu cabaran dan akan berusaha sehabis baik untuk jadi seperti dia," katanya yang ditemui pada majlis tayangan dan sidang media filem "Roh" di TGV 1 Utama, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Farah Ahmad memberitahu, dia dan arwah suami sentiasa memberi kebebasan dan tidak pernah menghalang minat anak-anak dalam bidang seni.

"Saya dan arwah suami sering memilih karya yang boleh memberi didikan dan motivasi kepada orang ramai, tidak kira genre apa sekalipun. Begitu juga dengan anak-anak, kami memberi ruang kepada mereka untuk mencuba apa yang mereka minat.

"Setakat ini watak yang Mhia dapat semuanya berat tetapi pada pendapat saya bagus juga untuk dia mencuba watak sebegini pada usia muda supaya lebih mudah untuk dia jayakannya apabila meningkat dewasa.

"Filem "Roh" ini memang sudah lama arwah suami nantikan untuk lihat Mhia berlakon tetapi tidak sempat. Arwah hanya berkesempatan melihat Mhia berlakon sewaktu penggambaran yang dilakukan pada awal tahun lalu," ujarnya yang turut hadir di majlis tersebut.

Diarahkan oleh Emir Ezwan sebagai filem cereka pertamanya, "Roh" turut menampilkan empat orang lagi pelakon lain iaitu Harith Haziq, Namron dan isteri Junainah M. Lojong, serta Putri Syahadah Nurqaseh.

Jangan lupa untuk saksikan filem seram "Roh" yang bakal menghantui pawagam bermula 19 Mac ini!

Cinema Online, 9 Mac 2020


Showtimes