Buletin

Amitabh Bachchan imbau pengalaman di ICU selepas insiden filem "Coolie"

Penulis: Nisa Irina

Amitabh Bachchan cedera parah ketika lakonkan babak aksi filem
Amitabh Bachchan cedera parah ketika lakonkan babak aksi filem "Coolie".

20 Mei – Bintang veteran Amitabh Bachchan mengimbau kembali kenangan pahitnya apabila dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah ketika terlibat dengan penggambaran filem klasik "Coolie" (1983).

Bachchan telah berkongsikan pengalaman yang hampir meragut nyawanya itu menerusi sebuah entri yang ditulis pada blognya baru-baru ini.

"Kulit dan wajah semakin menua, parut-parut pembedahan semakin kelihatan, garis pada lubang hidung adalah peringatan kepada hari-hari di selepas kemalangan "Coolie".


"Tiub-tiub yang dimasukkan untuk terus hidup, akan saya cabut dalam keadaan separa koma dan tidak bermaya, ia mengganggu saya, jadi mereka temui jalan penyelesaian.

"Mereka jahitkan ia ke lubang hidung saya, supaya saya tidak akan menariknya keluar, dan kini parutnya kekal," tulisnya yang dipetik dari Filmfare.

Selain itu, Bachchan turut mendedahkan dia pernah hilang suara ketika menjalani rawatan trakeostomi, iaitu pembedahan di mana satu bukaan pernafasan alternatif dibuat pada bahagian depan leher.

"Jika saya ingin berkata sesuatu, saya terpaksa memberi isyarat tubuh atau mencari helaian kertas bagi menulis beberapa perkataan dengan tulisan cakar ayam, kebanyakannya kepada Jaya (isteri) untuk meminta air," tambahnya lagi.

Buat pengetahuan lanjut, insiden mencemaskan itu berlaku ketika Bachchan melakonkan babak pergaduhan bersama aktor Puneet Issar, di mana dia perlu melompat ke atas sebuah meja.

Namun akibat tersilap langkah, dia terjatuh dan bahagian abdomennya terkena bucu meja sehingga menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk.

Pengarah Manmohan Desai akhirnya membuat keputusan untuk menukar skrip filem itu, di mana pada asalnya watak Bachchan akan mati pada penghujung filem, kerana ingin menjaga perasaan para peminat yang terkesan dengan insiden tersebut.

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: Deccan Herald)

Cinema Online, 20 Mei 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes