Buletin

Filem "Mukhsin" versi 4K akan ditayangkan di Festival Filem Tokyo ke-33

Penulis: Nisa Irina

'Mukhsin' dibintangi Sharifah Aryana dan Syafie Naswip.
"Mukhsin" dibintangi Sharifah Aryana dan Syafie Naswip.

31 Okt – Salah sebuah karya ikonik yang disutradarai oleh Allahyarham Yasmin Ahmad, "Mukhsin" (2007) bakal ditayangkan dalam versi 4K di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) ke-33 pada 31 Oktober ini.

Japan Foundation Asia Center (JFAC) dengan kerjasama baik Primeworks Distribution Sdn. Bhd. dan Imagica Lab di Jepun telah berjaya memulihkan "Mukhsin" di bawah pengawasan Pengarah Fotografi filem ini, Low Soon Keong.

"Asia Center telah melakukan proses membaik pulih filem "Mukhsin" dalam versi 4K menggunakan cetakan positif 35 mm dengan kerjasama pengedar Malaysia, Primeworks Studios, di mana ia dipilih daripada cetakan filem yang telah disahkan.

"Proses membaik pulih ini menggunakan teknologi pemulihan filem Jepun yang terkenal di seluruh dunia.

"Kami berharap dengan usaha membaik pulih karya Yasmin Ahmad, yang mempunyai nenek berasal dari Jepun, dapat membantu memperkukuhkan pertukaran dua hala dan saling memahami budaya antara Jepun dan Malaysia," kata pihak JFAC dalam satu kenyataan.


Sehubungan dengan itu, pelakon Sharifah Aryana dan Sharifah Aleya akan menyertai sesi ceramah dalam talian, iaitu "TIFF Talk Salon" pada 6 November bagi berkongsikan butiran lanjut mengenai filem "Mukhsin" kepada penonton.

TIFF, yang diakreditasi oleh FIAPF (International Federation of Film Producers Association), akan diadakan selama 10 hari, bermula 31 Oktober hingga 9 November ini.

"Mukhsin" membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Sharifah Aryana, Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Rozie Rashid, Ho Yu Hang, Ng Choo Seong dan Noor Khiriah.

Ia menceritakan kisah percintaan antara Orked dan Mukhsin yang mengunjungi kampungnya untuk menghabiskan cuti sekolah. Filem ini adalah trilogi Orked yang terakhir, dan prekuel untuk "Sepet" dan "Gubra".

Tahun lalu, filem "Sepet", yang dibintangi Sharifah Amani dan Ng Choo Seong sebagai peneraju utama, turut ditayangkan di beberapa pawagam di Tokyo sebagai tribute bersempena ulang tahun pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad yang ke-10.

(Sumber foto: Slant Magazine)

Cinema Online, 31 Oktober 2020


Related Movies:
MUKHSIN (Malay) (31 Mar 2007)
SEPET (02 Mar 2006)
GUBRA (Malay) (02 Mar 2006)
Showtimes