Buletin

Nad Zainal bakal kembali bergandingan dengan Remy Ishak

Penulis: Ashraf Nasser

Nad Zainal bakal muncul dengan filem biopik Tun Dr. Siti Hasmah.
Nad Zainal bakal muncul dengan filem biopik Tun Dr. Siti Hasmah.

19 Mei – Pelakon Nad Zainal memberitahu dia tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran dan sedang menanti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat untuk menjalani penggambaran drama terbarunya berjudul "Hati Yang Tersakiti".

Menerusi drama itu, Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin akan kembali bergandingan dengan Remy Ishak.

Nad bagaimanapun berkata tarikh sebenar penggambaran drama itu masih lagi ditentukan walaupun kerajaan telah menetapkan PKPB akan tamat pada 9 Jun depan berikutan prosedur operasi standard (SOP) masih lagi belum diluluskan oleh kerajaan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media harian PKPB telah menjelaskan tiada sebarang aktiviti penggambaran dibenarkan lagi sepanjang tempoh PKPB kerana mesyuarat khas menteri-menteri hanya akan membincangkan mengenai perkara itu selepas sambutan Aidilfitri.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kerja seni, pelakon berusia 30 tahun itu gembira dengan sambutan memberangsangkan daripada penonton terhadap drama terbaru lakonannya "Di Hujung Ranting" yang kini sedang disiarkan di TV2.

"Semestinya saya gembira apabila mendapat maklum balas daripada penonton drama "Di Hujung Ranting". Ternyata peminat drama Melayu suka cerita air mata.

"Tidak sukar untuk saya jayakan watak Mawardah dalam drama itu, tetapi ia sangat memenatkan kerana setiap hari ada babak air mata. Walaupun letih, saya seronok di set penggambaran. Dengan kerjasama semua pelakon, tidak susah saya menjiwai watak.

"Jujurnya, semua pelakon sangat 'memberi'," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Sementara itu, selain drama Nad juga bakal muncul dengan filem terbarunya iaitu sebuah naskhah biografi "Hasmah Bila Deh Bertemu Det" yang mana dia menjayakan watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

(Sumber foto: Nad Zainal Instagram)

Cinema Online, 19 Mei 2020


Related Movies:
Soulmate Hingga Jannah (Malay) (17 Feb 2017)
Showtimes