Buletin

Nazimi Fahmi sanggup berhenti kerja demi Mamat Khalid

Penulis: Nisa Irina

Nazimi Fahmi akui gementar selepas terpaksa jalani uji bakat secara solo.
Nazimi Fahmi akui gementar selepas terpaksa jalani uji bakat secara solo.

21 Feb – Pemuzik Nazimi Fahmi meluahkan perasaan teruja kerana menjadi pilihan pengarah Mamat Khalid untuk membintangi filem "Rock 4: Rockers Never Dai" iaitu kesinambungan kepada filem trilogi "Rock".

Menurut Nazimi yang tidak mempunyai latar belakang sebagai pelakon, dia menghadiri sesi uji bakat bersama seorang rakan yang bermain dram sebelum rakannya terpaksa menarik diri atas sebab tertentu.

"Sewaktu sesi uji bakat, saya dan rakan saya terpaksa tunggu dari pukul 12 tengahari sehingga sembilan malam. Selepas rakan saya terpaksa pulang, saya cuba menjalani uji bakat secara solo. Mujur ketika itu saya bawa 'keyboard'.

"Jadi saya teruskan uji bakat di hadapan anak Abang Mamat iaitu Amen, dan bagi uji bakat lakonan pula, idola saya iaitu Abang Aziz M. Osman menjadi juri. Jujur cakap saya sangat gementar dan saya rasa macam saya tak lakukan dengan baik pada waktu itu.


"Selepas tiga bulan, akhirnya saya dihubungi dan diberitahu yang saya diterima untuk filem "Rock 4". Pada waktu itu saya sedang bekerja, jadi saya minta cuti sebulan untuk penggambaran tetapi tak dibenarkan.

"Jadi saya buat keputusan untuk berhenti kerja kerana Abang Mamat beri kepercayaan kepada saya. Walaupun kurang yakin, tetapi saya teruja dapat terlibat sama dalam filem ini," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Rock 4" di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Mamat Khalid memberitahu dia tertarik dengan muzik yang dimainkan oleh Nazimi ketika sesi uji bakat dan berasa rugi jika tidak menyerlahkan bakat yang ada pada pelakon baru itu.

"Walaupun hanya segelintir yang tahu, bagi saya itu sudah cukup. Ia adalah kewajipan saya sebagai seorang pengarah untuk menggali bakat pelakon-pelakon baru yang ada di negara kita ini," tambahnya lagi.

Selain Nazimi, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Sharwani NS, Adam John, Hazama, Bulan Terry, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, serta penampilan khas Dato' Awie dan Kamarool Hj Yusof.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Rimba Bara 2 dalam filem "Rock 4: Rockers Never Dai" terbitan Primeworks Studios yang bakal menggegarkan pawagam bermula 20 Februari ini!

Cinema Online, 21 Februari 2020


Showtimes