Buletin

Neeraj Pandey mungkin akan realisasikan filem "Crack"

Penulis: Nisa Irina

Neeraj Pandey teringin tubuhkan francais filem "Baby".
Neeraj Pandey teringin tubuhkan francais filem "Baby".

28 Mac – Empat tahun lalu, pembikin filem Neeraj Pandey telah mengumumkan pembikinan filem thriller psikologikal berjudul "Crack" yang akan diterajui bintang versatil Akshay Kumar.

Sekian lama projek itu dibiarkan tergendala, kini Neeraj memberitahu dia mungkin akan merealisasikannya semula jika mempunyai idea baru untuk memperbaiki jalan cerita tersebut.

"Ia telah dibiarkan tergendala tanpa sebarang rancangan untuk menghidupkannya. Ketika itu, saya agak tidak berpuas hati dengan skrip filem.

"Namun jika saya berjaya mendapat sesuatu yang baru pada masa akan datang, mungkin saya akan hidupkannya semula," ujarnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Sebelumnya, Neeraj pernah menjayakan dua filem aksi polis bersama Akshay iaitu "Special 26" (2013) dan "Baby" (2015), serta meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan aktor itu semula.


"Buat masa ini masih belum ada peluang lagi. Saya sedang membikin filem "Chanakya" bersama Ajay Devgn dan Akshay juga sedang terlibat dengan filem lain. Ia tanggungjawab besar bagi kami berdua," tambahnya lagi.

Bercakap mengenai filem "Baby", Neeraj memberitahu jika ada peluang dia teringin untuk menubuhkan francais filem tersebut seperti mana penerbit dan pengarah Rohit Shetty lakukan dengan "Sooryavanshi".

Walau bagaimanapun, perancangan tersebut bukanlah dalam masa yang terdekat memandangkan dia perlu memikirkan cara untuk mengembangkan francais itu dengan baik dan tidak mahu terburu-buru.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Social News XYZ)

Cinema Online, 28 Mac 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes