Buletin

Nevin Hiong kongsi kisah mistik di set penggambaran "Miimaland"

Penulis: Nisa Irina

This "Nevin Hiong akui tertarik untuk hasilkan kisah misteri di sebalik taman tema Mimaland.
Nevin Hiong akui tertarik untuk hasilkan kisah misteri di sebalik taman tema Mimaland.

15 Sep – Menghasilkan sebuah naskhah seram bukanlah sesuatu yang mudah bagi seseorang pembikin filem memandangkan genre itu sememangnya menjadi kegemaran pembikin filem di seluruh dunia, maka idea baru yang ingin dibawa perlu betul-betul relevan.

Menurut Nevin Hiong, pengarah filem seram terbaru "Miimaland", pengalamannya terdahulu sebagai pengarah fotografi yang sering terbabit dengan projek penggambaran yang diadakan di taman tema Mimaland merupakan faktor utama dia tertarik untuk menghasilkan filem ini.


"Sebenarnya idea untuk jalan cerita ini timbul dari tajuk filem juga. Saya ingin hasilkan sebuah kisah berdasarkan Mimaland sebab saya rasa memang banyak misteri yang tersimpan di sebalik taman tema itu.

"Dari situ saya kembangkan lagi jalan cerita dengan idea sendiri. Dua huruf 'I' dalam tajuk filem ini juga menggambarkan dua orang kanak-kanak," katanya yang ditemui di majlis malam gala tayangan perdana "Miimaland" di mmCineplexes eCurve, Petaling Jaya, baru-baru ini.


Pengarah dan penerbit bersama barisan pelakon yang hadir ke malam gala
tayangan perdana "Miimaland".

Kongsi Nevin lagi, dia bersama para pelakon serta kru produksi juga tidak terlepas dari gangguan-gangguan mistik yang berlaku sewaktu penggambaran dijalankan di sekitar lokasi taman tema tersebut.

"Ketika kami memfilemkan babak kemalangan, kereta yang kami gunakan tiba-tiba rosak. Selain itu, dua 'makeup artist' kami dirasuk dan menjerit ingin masuk ke Mimaland ketika kami memfilemkan babak di pintu gerbang utama.

"Kami juga ada mengambil foto empat orang pelakon wanita dan apabila kami lihat semula foto itu, terdapat satu kelibat misteri berada di belakang salah seorang pelakon. Ini merupakan kali pertama kami berdepan pengalaman sebegini," katanya.

Bercakap mengenai pemilihan pelakon, Fattah Amin menjadi pilihan utama Nevin kerana keinginannya untuk memaparkan sisi lain pelakon itu yang sebelumnya sinonim dengan watak-watak romantik.

Selain Fattah, filem yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta ini turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Sophie Koshka, Camelia Natasya, Zalif Sidek, Farah Ahmad, Esdher Wang dan Hazzy Alzeeq.

Buat makluman lanjut, "Miimaland" merupakan filem kedua arahan Nevin selepas filem aksi komedi "Kampung Drift". Sesi penggambaran bermula pada 10 September 2019 dan berlangsung selama 25 hari, di mana ia dijalankan di sekitar Mimaland, Gombak dan Mossy Forest, Pahang.

Terdahulu, filem ini sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 4 Jun lalu. Walau bagaimanapun, ia terpaksa ditunda ke tarikh baru iaitu 24 September susulan penutupan panggung wayang akibat pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Nevin bakal menerbitkan sebuah filem berjudul "Kulit Wayang" yang bakal diarahkan oleh Dain Said. Memandangkan skrip sudah siap, proses pra-produksinya dijangka bermula pada hujung tahun ini.

Cinema Online, 15 September 2020


Related Movies:
Miimaland (Malay) (24 Sep 2020)

Jwplayer article page COSG

You May Also Like:
To read this article in English, click HERE.
Showtimes