Buletin

Nurflix.TV platform penstriman video berlandaskan Islamik

Penulis: Ashraf Nasser

Nurflix.TV ditubuhkan bukan untuk bersaing dengan platform penstriman video lain.
Nurflix.TV ditubuhkan bukan untuk bersaing dengan platform penstriman video lain.

17 Jul – Berikutan platform penstriman video kini menjadi alternatif popular bagi menggantikan saluran televisyen biasa mahu pun pemain DVD, kini sebuah lagi platform penstriman video terbaru dilancarkan iaitu Nurflix.TV.

Berbeza dengan platform penstriman video sedia ada ketika ini seperti Iflix, Viu, Netfix atau Amazon Prime, Nurflix.TV hanya akan menawarkan kandungan yang berlandaskan Ismlamik.

"Jika dilihat pada masa ini, terlalu banyak kandungan digital semakin tidak terkawal, tiada tapisan, adab dan nilai budaya yang ideal. Dengan kandungan seperti itu, apa akan jadi pada generasi akan datang?


"Disebabkan itu, saya tampil dengan idea kandungan baharu, segar dan selamat untuk ditonton, terutama kanak-kanak. Alhamdulillah, idea yang diperoleh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu disambut baik, malah disokong oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV iaitu Syah Mohamed yang dipetik dari BH Online.

Menurut Syah lagi, Nurflix.TV akan menjalin kerjasama antara golongan ulama dan karyawan industri kreatif bagi menghasilkan kandungan yang menghiburkan tetapi masih mengikut landasan Islam.

Untuk merealisasikan perkara itu, pihaknya telah menyediakan dana permulaan sebanyak RM40 juta untuk menghasilkan kandungan dan juga bekerjasama dengan beberapa artis ternama tanah air seperti Erra Fazira, Altimet, Mawi, Eman Manan, Mira Filzah, Wany Hasrita, Adam Corrie dan ramai lagi.

Tambahnya lagi, sebanyak 12 naskhah akan ditayangkan bermula Oktober ini dan orang ramai boleh melanggan Nurflix.TV secara percuma sepanjang tempoh tiga bulan iaitu dari Oktober hingga Disember depan.

(Sumber foto: Nurflix.TV Facebook)

Cinema Online, 17 Julai 2020


Showtimes