Buletin

Park Seo-Joon bakal bintangi filem sains fiksyen "Concrete Utopia"

Penulis: Nisa Irina

Peminat teruja nantikan kemunculan Park Seo-Joon bersama dua lagi bintang Kdrama dalam filem
Peminat teruja nantikan kemunculan Park Seo-Joon bersama dua lagi bintang
Kdrama dalam filem "Concrete Utopia".

10 Ogos – Aktor Korea Selatan terkenal Park Seo-Joon bakal membintangi sebuah filem baru berjudul "Concrete Utopia", di mana dia akan digandingkan bersama aktres Park Bo-Young dan aktor Lee Byung-Hun.

Filem bergenre sains fiksyen itu menandakan kemunculan semula pengarah Um Tae-Hwa selepas empat tahun, setelah mengarah filem "Vanishing Time: A Boy Who Returned" (2016).


Menurut laporan dari Soompi, berita yang membangkitkan keterujaan para peminat di media sosial itu telah disahkan oleh syarikat produksi dan pengedaran filem Korea Selatan, Lotte Entertainment.

Difahamkan produksi dan penggambaran filem itu dijadualkan untuk bermula pada Mac 2021. Ia mengisahkan sekumpulan manusia yang terselamat setelah gempa bumi berskala besar melanda bandar Seoul.

Lee Byung-Hun akan membawa watak sebagai Young-Tak, ketua kumpulan yang melindungi mangsa-mangsa yang menetap di Pangsapuri Hwang Goong, sementara Park Seo-Joon membawa watak Min-Sung, seorang peawai awam yang membantu Young-Tak.

Park Bo-Young pula diangkat sebagai watak Myeong-Hwa, isteri kepada Min-Sung dan juga seorang jururawat yang membantu merawat mangsa-mangsa yang tercedera akibat malapetaka tersebut.

Dalam pada itu, Park Seo-Joon akan muncul dengan sebuah lagi filem bertemakan sukan iaitu "Dream", yang menggandingkannya dengan penyanyi dan aktres terkenal Lee Ji-Eun, atau lebih dikenali sebagai IU.

(Sumber foto: Park Seo Joon Pics Twitter)

Cinema Online, 10 Ogos 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes