Buletin

Payal Ghosh dedah butiran pertemuannya dengan Anurag Kashyap

Penulis: Nisa Irina

Payal Ghosh nekad untuk berjuang mendapatkan keadilan bagi pihaknya.
Payal Ghosh nekad untuk berjuang mendapatkan keadilan bagi pihaknya.

16 Okt – Aktres Bollywood Payal Ghosh mendedahkan butiran mengenai perjumpaannya dengan pengarah terkenal Anurag Kashyap yang sebelum ini didakwa telah merogolnya pada 2013.

"Sedikit butiran dan kebenaran tidak akan menyakiti sesiapa. Biar si pelaku sendiri yang datang dan membantahnya kemudian kita cuba mendapatkan kebenaran.

"Jika perkara ini tidak membangkitkan sifat kewanitaan dari diri kamu dan orang yang kamu ingin haknya terbela, saya tidak tahu apa lagi yang boleh. #BerjuangHinggaKeAkhirnya," tulis aktres itu menerusi laman Twitter.

Menurut Payal, dia telah dihubungi oleh Anurag untuk datang ke pejabatnya dan kemudian ke kediamannya, di mana Anurag telah menyediakan hidangan untuk dijamah bersama-sama.

"Kali kedua saya datang ke rumahnya, dia sedang merokok dan minum minuman beralkohol, membuatkan saya berasa tidak selesa.

"Apabila saya bertanyakan tentang bau asap itu, dia menjawab ia adalah ganja," kata Payal menerusi laporan yang dipetik dari Pinkvilla.

Tambah aktres filem "Prayanam" itu lagi, Anurag membawanya ke sebuah bilik dan membuka pakaiannya serta cuba merogolnya.


Payal mengakhiri video itu dengan menegaskan bahawa dia akan terus berjuang demi keadilan dan memastikan si pelaku tidak akan terlepas begitu sahaja.

Terdahulu, Anurag telah mengeluarkan kenyataan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak benar sama sekali.

Dalam perkembangan lain, aktres Richa Chadha telah memfailkan kes terhadap Payal atas tuduhan bahawa dia telah bersubahat dalam kes ganggual seksual tersebut.

Sehubungan dengan itu, Payal tampil ke Mahkamah Tinggi Bombay bagi memohon maaf terhadap Richa pada Khamis.

(Sumber: Pinkvilla)
(Sumber foto: Tollywood)

Cinema Online, 16 Oktober 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes