Buletin

Pejabat Shah Rukh Khan kini beroperasi sebagai wad ICU

Penulis: Nisa Irina

 Sebanyak 15 buah katil lengkap dengan alat oksigen dan ventilasi disediakan di wad ICU itu.
Sebanyak 15 buah katil lengkap dengan alat oksigen dan ventilasi disediakan di wad ICU itu.

11 Ogos – Bintang Bollywood terkemuka Shah Rukh Khan sentiasa menggunakan kemasyhurannya untuk melakukan perkara-perkara bermanfaat, terutamanya membantu golongan-golongan yang memerlukan.

Terbaru, Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC) telah mengubah pejabat syarikat produksi milik Shah Rukh Khan iaitu Red Chillies Entertainment menjadi wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit-pesakit kritikal.


Buat makluman lanjut, wad itu dilengkapi dengan 15 buah katil berserta alat oksigen dan ventilasi, termasuk pengemas rumah dan hidangan yang disediakan oleh kerjasama antara pertubuhan MEER Foundation milik Shah Rukh Khan, Hospital Hinduja dan BMC.

Dalam pada itu, pengarah eksekutif Hospital Hinduja, Dr. Avinash Supe berkata, wad itu dibahagikan kepada dua tingkat, di mana terdapat enam katil berserta alat oksigen dan lima katil ICU di tingkat pertama, dan empat katil di tingkat dua.

"Ia dilengkapi dengan alat ventilasi, saluran oksigen, kanula hidung aliran tinggi dan tangki cecair oksigen untuk para pesakit kritikal dan berisiko tinggi.

"Perkhidmatan akan dijalankan oleh Hospital Hinduja di bawah bimbingan BMC," jelas Dr. Avinash yang dipetik dari laporan Times of India.

Sehubungan dengan itu, beberapa orang doktor, jururawat dan paramedik akan disediakan di wad berkenaan, yang akan beroperasi 24 jam setiap hari.

Terdahulu, pejabat Shah Rukh Khan itu telah ditukar menjadi pusat kuarantin bagi pesakit-pesakit COVID-19 yang tidak bergejala, serta menyediakan sebanyak 25,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada barisan hadapan paramedik di Maharashtra.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: The Express Tribune & SRK Bangalore Twitter)

Cinema Online, 11 Ogos 2020


Showtimes