Buletin

Penembak tepat Rakesh Roshan berjaya diberkas

Penulis: Nisa Irina

 Rakesh Roshan terkena dua daripada enam das tembakan yang dilepaskan suspek pada 2000.
Rakesh Roshan terkena dua daripada enam das tembakan yang dilepaskan suspek pada 2000.

13 Okt – Penjenayah dan penembak tepat yang pernah mensasarkan pembikin filem dan aktor Bollywood terkenal, Rakesh Roshan berjaya diberkas oleh pihak berkuasa di Thane, Maharashtra pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Sunil V Gaikwad, 52, dilaporkan berada di kawasan Bulatan Parsik, Kalwa sebelum ditahan sekitar jam sembilan malam tersebut.

Senior inspektor Unit Jenayah Pusat (CCU) Anil Honrao memaklumkan bahawa pihaknya telah menyediakan perangkap berdasarkan maklumat yang diberi mengenai suspek.

"Kami telah menerima maklumat bahawa Gaikwad akan ke kawasan Bulatan Parsik. Susulan itu, kami telah menyediakan perangkap dan berjaya menahannya.


"Tertuduh mempunyai rekod 11 kes pembunuhan dan tujuh kes cubaan membunuh yang telah didaftarkan.

"Salah satunya adalah cubaan bunuh terhadap pengarah Bollywood Rakesh Roshan pada 2000," katanya yang dipetik dari The Indian Express.

Menurut Honrao, suspek didapati telah bersembunyi selepas dibebaskan secara bersyarat dari penjara pusat Nashik selama 28 hari pada 26 Jun lalu.

"Gaikwad telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas sebuah kes pembunuhan dan dipenjarakan di penjara pusat Nashik.

"Suspek dijangka untuk kembali ke penjara selepas selesai tempoh pembebasan bersyarat. Walau bagaimanapun, suspek tidak berbuat demikian, sebaliknya bersembunyi sehinggalah dia ditahan," ujar Honrao lagi.

Terdahulu, Roshan telah ditembak ketika berada di luar pejabatnya di Mumbai pada Januari 2000, di mana suspek telah melepaskan enam das tembakan dan dua daripadanya terkena Roshan.

Difahamkan suspek, yang merupakan ahli kumpulan Ali Budesh dan Subhash Singh Thakur, banyak terbabit dalam kes jenayah pada 1999 hingga 2000.

(Sumber: The Indian Express)
(Sumber foto: Something Haute)

Cinema Online, 13 Oktober 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes