Buletin

Penerbit filem mahu angka kutipan filem di FINAS dikembalikan

Penulis: Ashraf Nasser

 Carta box-office baru di laman sesawang FINAS tidak lagi memaparkan angka kutipan setiap filem.
Carta box-office baru di laman sesawang FINAS tidak lagi memaparkan
angka kutipan setiap filem.

11 Ogos – Tidak dapat dinafikan penghujung tahun lalu, ramai penggiat seni dan pihak media yang tertanya-tanya mengapa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memadam angka kutipan filem Malaysia di laman sesawang mereka dan hanya meletakkan status 'Selesai Tayangan' sahaja.

Perkara ini turut mendapat perhatian penerbit dari Kuman Pictures yang menganggap ia bukanlah perkembangan yang sihat buat industri kerana negara-negara lain memberikan statistik kutipan box-office mereka seperti di laman sesawang Box Office Mojo.


"Angka kutipan filem bermanfaat bukan sahaja untuk pembikin filem (nak ukur pencapaian filem mereka dan orang lain di pasaran) tapi pelabur, pengulas/penganalisa yang nak ukur trend, dan peminat filem secara amnya yang nak melabur (beli tiket).

"Kami harap pihak berwajib akan paparkan kembali data kutipan filem kita. Tiada sebarang manfaat yang boleh diperolehi dengan merahsiakan data sebegini. (Atau adakah maklumat itu dipadam untuk 'jaga hati' pihak-pihak tertentu? Pihak yang mana ya?)," ujar produksi itu dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook Kuman Pictures.

Tambah mereka lagi, pihak FINAS juga perlu memaparkan data penerima dana perfileman berikutan ia melibatkan wang rakyat.

Dalam pada itu, Kuman Pictures yang baru sahaja muncul dengan filem seram terbaru mereka berjudul "Roh" pada 6 Ogos lalu, berkata mereka akan sentiasa berkongsi jumlah kutipan filem mereka dari masa ke semasa.

(Sumber foto: Kuman Pictures Facebook)

Cinema Online, 11 Ogos 2020


Showtimes