Buletin

Penggiat seni harap dapat bantuan daripada kerajaan

Penulis: Ashraf Nasser

Shuhaimi Lua harap kerajaan akan turut beri perhatian kepada pekerja industri seni tanah air.
Shuhaimi Lua harap kerajaan akan turut beri perhatian kepada pekerja industri seni tanah air.

26 Mac – Golongan penggiat seni dan pekerja di belakang tabir merupakan antara yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan berikutan banyak aktiviti seni ditunda atau dibatalkan.

Perkara itu diluahkan oleh pengarah dan penerbit Tanah Beris Film Productions Sdn Bhd iaitu Shuhaimi Lua yang berharap pihak kerajaan dapat memberikan bantuan kepada mereka.

"Sudah semestinya PKP ini memberi kesan kepada pendapatan banyak pihak terutamanya penggiat seni dan pekerja belakang tabir.


"Sehingga hari ini, saya belum mendengar sebarang pakej rancangan daripada pihak kerajaan kepada penggiat seni dan pekerja belakang tabir yang juga turut terjejas teruk," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Shuhaimi bagaimanapun meluahkan rasa bersyukurnya apabila beberapa persatuan seni seperti Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengadakan kutipan derma kilat untuk memberi bantuan barangan keperluan kepada ahli.

Semalam, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanjutkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini kepada 14 April depan.

Dalam pada itu, Shuhaimi juga meminta agar masyarakat akur dan tidak melanggar perintah kerajaan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

(Sumber foto: Shuhaimi Lua Instagram)

Cinema Online, 26 Mac 2020


Showtimes