Buletin

Pengarah R. Balki rancang hasilkan filem baru

Penulis: Nisa Irina

R. Balki akui sukar untuk tarik Amitabh Bachchan dalam sesebuah projek filem.
R. Balki akui sukar untuk tarik Amitabh Bachchan dalam sesebuah projek filem.

13 Feb – Pengarah dan penulis filem pecah panggung "Padman" R. Balki mendedahkan dia kini sedang menulis skrip bagi sebuah filem baru yang dikatakan mungkin akan dibintangi oleh aktor veteran Amitabh Bachchan.

"Memang benar saya sedang menulis skrip buat masa ini, kita lihat sahaja nanti. Saya hanya akan memikirkan perancangan seterusnya selepas selesai menghasilkan skrip ini.

"Sebelum ini saya menulis skrip dan telah menetapkan barisan aktor bagi watak-watak yang ada. Walau bagaimanapun, kali ini saya masih belum memilih mana-mana aktor untuk projek ini," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Dalam pada itu, Balki mengakui bahawa untuk mendapatkan persetujuan Bachchan membintangi sesebuah projek adalah sangat sukar dan merupakan satu cabaran buatnya.

Menurut Balki lagi, dia akan mencari sesuatu yang unik bagi sesebuah watak atau jalan cerita sebelum membentangkan idea kepada aktor veteran itu.

"Moto saya adalah untuk menghasilkan sebuah filem yang istimewa dan di luar jangkaan dengannya. Jika tidak, buat apa buang masa untuk hasilkan filem?" jelasnya lagi.

Untuk rekod, kedua-dua mereka pernah menjayakan tiga buah filem sebelum ini iaitu "Cheeni Kum" (2007), "Paa" (2009) dan "Shamitabh" (2015).

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Biz Asia)

Cinema Online, 13 Februari 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes