Buletin

Pakar perubatan sahkan penyakit Puteri Balqis bukan kanser

Penulis: Nisa Irina

Puteri Balqis dilihat masih mampu tabah menghadapi dugaan hidup bersama ibunya.
Puteri Balqis dilihat masih mampu tabah menghadapi dugaan hidup bersama ibunya.

15 Jan – Kehidupan pelakon Puteri Balqis yang didakwa menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu telah menyentuh hati ramai pihak apabila terpaksa menanggung kos perubatan bersama ibunya sendiri.

Seperti yang dilihat menerusi media sosial, Balqis atau lebih mesra disapa sebagai Aqish, menjual buku puisi nukilannya berjudul "38 Poems of Puteri Balqis" di sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk menjana pendapatan.

Walau bagaimanapun, pakar Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Pakar Swasta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Masri Muhamed mengesahkan bahawa Aqish tidak menghidap kanser, sebaliknya penyakit lain.

"Apabila saya jalankan segala ujian klinikal, saya tak dapat berikan satu kesimpulan apa masalahnya. Jadi, saya teruskan dengan pelbagai ujian darah kerana dia kelihatan sangat pucat.


"Saya tengok kandungan hemoglobin dalam darahnnya sangat rendah, jadi saya jalankan ujian lain untuk fungsi hati dan buah pinggang. Selepas semua kajian dilakukan, saya mendapati dia tidak menghidap kanser, tetapi masalah berlainan," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Kisah sayu Aqish dan ibunya yang sudah empat tahun berpisah dengan suami membuatkan ramai pihak membuka mata dan berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada dua beranak itu.

Terbaru, pelakon berusia 13 tahun itu telah ditawarkan untuk membintangi sebuah telefilem berjudul "Tiada Galang Ganti" terbitan A Aida Production yang bakal ditayangkan menerusi slot Cerekarama TV3.

Menurut Datuk A Aida, dia sering menawarkan projek lakonan kepada Aqish sejak dua tahun lalu untuk membantu dia dan ibunya kerana mempercayai Aqish adalah seorang pelakon berbakat.

Untuk rekod, Aqish pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia ke-19 pada 2014.

(Sumber foto: Puteri Balqis Instagram)

Cinema Online, 15 Januari 2020


Related Movies:
KL Special Force (Malay) (08 Mar 2018)
Makrifat Cinta (Malay) (01 Feb 2018)
Showtimes