Buletin

Pengarah aksi Bollywood Parvez Khan meninggal dunia pada usia 55 tahun

Penulis: Nisa Irina

Parvez Khan pernah bekerja dengan Saif Ali Khan dalam filem
Parvez Khan pernah bekerja dengan Saif Ali Khan dalam filem "Agent Vinod".

29 Jul – Pengarah aksi Bollywood Parvez Khan yang pernah bekerja untuk filem "Andhadhun" dan "Badlapur" meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat serangan jantung pada 27 Julai.

Menurut pembantu yang sudah lama bekerja dengannya, Nishant Khan, Parvez telah dikejarkan ke Hospital Ruby, Kolkata, India, selepas mengadu berasa sakit di bahagian dada.


"Dia menderita serangan jantung pada pagi Isnin. Dia dikejarkan ke hospital tetapi telah pun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

"Dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan tetapi mengadu berasa sakit di bahagian dada pada malam sebelumnya," jelas Nishant yang dipetik dari laporan Hindustan Times.

Sehubungan dengan itu, penerbit, pengarah dan aktor Hansal Mehta turut berduka cita atas pemergian rakan industrinya yang sebelum ini pernah bekerjasama dengannya menerusi filem "Shahid".

"Baru sahaja mendapat tahu pengarah aksi Parvez Khan telah meninggal dunia. Kami pernah bekerjasama dalam filem "Shahid", di mana dia menjayakan babak rusuhan hanya satu 'take' sahaja. "Dia merupakan seorang lelaki yang berkemahiran tinggi, bersemangat dan baik hati. Berehatlah dengan tenang Parvez. Suara kamu masih terngiang-ngiang di telinga saya!" tulis Hansal di laman Twitter miliknya.

Untuk rekod, Parvez mula menceburi industri Bollywood pada 1986 sebagai penolong pengarah aksi kepada Akbar Bakshi dalam filem Akshay Kumar "Khiladi", filem Shah Rukh Khan "Baazigar" dan filem Bobby Deol "Soldier".

Selepas itu, dia keluar dari zon selesa dan mencipta nama sendiri sebagai pengarah aksi dalam filem-filem hebat seperti "Johnny Gaddaar" dan "Agent Vinod" yang dibintangi oleh Saif Ali Khan.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: IWM Buzz)

Cinema Online, 29 Julai 2020


Showtimes