Buletin

Penerbit filem tempatan belum yakin mahu tayang filem di pawagam

Penulis: Ashraf Nasser

Penerbit filem bimbang kutipan filem akan merosot berikutan hanya 250 individu sahaja dibenarkan untuk setiap sesi tayangan.
Penerbit filem bimbang kutipan filem akan merosot berikutan hanya 250
individu sahaja dibenarkan untuk setiap sesi tayangan.

2 Jul – Apabila kerajaan memberi 'lampu hijau' kepada pihak pawagam untuk kembali beroperasi bermula 1 Julai, ramai yang menyambut baik pengumuman itu dan ramai yang tidak sabar untuk kembali ke pawagam.

Bagaimanapun lain pula cerita dengan penggiat seni tempatan terutamanya penerbit filem yang masih belum yakin untuk menayangkan filem mereka di pawagam buat masa ini kerana bimbang tidak mendapat pulangan kutipan yang disasarkan.

"Setakat ini, hanya filem "Roh" yang dijadualkan ditayangkan pada 6 Ogos diikuti dua filem lain pada September. Kebiasannya purata filem tempatan yang ditayangkan adalah enam filem sebulan," ujarnya Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris kepada Bernama.

Antara faktor yang membuatkan penerbit filem tidak berani tayang filem mereka di pawagam adalah kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap sesi tayangan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.


Dalam pada itu, Zahrin juga berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ramai penerbit yang mencari alternatif lain untuk menayangkan filem mereka.

Terdahulu filem "Manap Karaoke", "Syif Malam Raya", "Ada Apa Dengan Dosa" dan "Town Mall" telah ditayangkan di saluran berbayar Astro First dan apa yang mengejutkan apabila filem "Syif Malam Raya" berjaya meraih kutipan lebih RM3 juta.

Sejak pawagam dibuka bermula semalam (1 Julai) tidak banyak judul baru ditayangkan dan pihak pawagam mengambil pendekatan untuk menayangkan semula filem-filem pecah panggung tahun lalu buat masa ini.

(Sumber foto: Astro Awani)

Cinema Online, 2 Julai 2020


Showtimes