Buletin

"Polis Evo 3" & "Abang Long Fadil 3" sah ditayangkan tahun depan

Penulis: Ashraf Nasser

 Kedua-dua filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof dan dibintangi oleh Zizan Razak.
Kedua-dua filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof dan dibintangi oleh Zizan Razak.

3 Jul – Nampaknya peminat terpaksa menunggu sedikit lama untuk menonton filem paling dinanti-nantikan pada tahun ini iaitu "Polis Evo 3" dan "Abang Long Fadil 3" apabila kedua-dua filem itu telah disahkan hanya akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh pemilik Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam yang berkata keputusan untuk menayangkan filem itu pada tahun hadapan kerana enggan ambil risiko walaupun pawagam sudah dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


"Pandemik COVID-19 belum pulih sepenuhnya baik di Malaysia mahupun di luar negara. Malah, angka jangkitan masih dilaporkan saban hari. Ini mempengaruhi psikologi orang ramai dan mereka pasti mengambil pendekatan berhati-hati.

"Pada masa sama, keadaan ekonomi dengan ramai tenaga kerja diberhentikan, semuanya mempengaruhi jualan tiket. Lagipun dengan syarat penjarakan sosial, kita kehilangan antara 60 hingga 70 peratus penonton di pawagam," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah Yusof lagi, filem terbitan Skop dengan kerjasama Astra Shaw menelan belanja besar iaitu kira-kira RM10 juta untuk kedua-dua filem itu, oleh itu mereka tidak mahu ambil risiko bimbang akan mengalami kerugian besar.

Buat masa ini tarikh sebenar tayangan dua filem itu masih lagi belum ditentukan kerana masih mencari waktu yang sesuai untuk tayangan di pawagam.

Untuk pengetahuan pembaca, kedua-dua filem "Polis Evo 3" dan "Abang Long Fadil 3" diarahkan oleh pengarah yang sama iaitu Syafiq Yusof.

Cinema Online, 3 Julai 2020


Showtimes