Buletin

Presiden Marvel Studios puji karya filem Joko Anwar

Penulis: Nisa Irina

Joko Anwar dan Kevin Feige merupakan ketua pegawai kreatif BCU dan MCU.
Joko Anwar dan Kevin Feige merupakan ketua pegawai kreatif BCU dan MCU.

11 Ogos – Terkenal dengan menghasilkan filem-filem berkualiti tinggi, pembikin filem tersohor Indonesia, Joko Anwar berjaya mendapat pengiktirafan di Amerika Syarikat apabila presiden Marvel Studios, Kevin Feige memuji karya milliknya.

Joko dan Kevin masing-masing memegang jawatan penting iaitu sebagai ketua pegawai kreatif dalam memperkembangkan alam sinematik mereka, Bumilangit Cinematic Universe (BCU) dan Marvel Cinematic Universe (MCU).

Menurut laporan dari Republika, Kevin sempat memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada Joko menerusi acara Disney+ Hotstar Grandfest yang diadakan secara virtual menerusi saluran Facebook Live pada Isnin.


"Apa khabar Joko? Saya tahu bagaimana perasaannya untuk menghidupkan cerita-cerita epik dan saya yakin bahawa masa depan industri perfileman di Indonesia berada di tangan yang tepat. Jangan ragu-ragu untuk memperluaskan alam sinematik anda," ujar Kevin.

Pengarah filem "Pengabdi Setan" itu pantas membalas dengan ucapan penghargaan serta memberitahu bahawa dia banyak mendapat inspirasi dari MCU untuk memperkembangkan alam sinematiknya.

Portal penstriman berbayar Disney+ Hotstar milik syarikat korporasi media dan hiburan, The Walt Disney Company, bakal dilancarkan di Indonesia pada 5 September ini, menandakan pelancaran kedua portal penstriman berbayar itu di Asia selepas India.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 500 buah filem dan 7,000 episod kandungan yang merangkumi Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic dan banyak lagi, akan disertakan dalam portal penstriman tersebut.

Selain itu, lebih daripada 300 buah filem Indonesia termasuk beberapa filem baru seperti "Sabar Ini Ujian", "Pelukis Hantu", "Bidadari Mencari Sayap", "Falcon's Rentang Kisah" dan "Malik & Elsa" akan turut ditayangkan.

Berbalik kepada Joko, filem pertama dari alam sinematik Bumilangit arahannya iaitu "Gundala", lakonan Abimana Aryasatya dan Bront Palarae, akan ditayangkan menerusi portal penstriman itu pada Februari 2021.

(Sumber foto: Jakarta News & MCU Wiki)

Cinema Online, 11 Ogos 2020


Showtimes