Buletin

Puteri Balqis tutup akaun Instagram sementara

Penulis: Ashraf Nasser

Sebelum ini Puteri Balqis dikatakan mengidap penyakit misteri sehingga menyebabkan dia tidak dapat berlakon.
Sebelum ini Puteri Balqis dikatakan mengidap penyakit misteri sehingga menyebabkan dia tidak dapat berlakon.

21 Jan – Sejak kebelakangan ini industri seni tempatan dikejutkan dengan berita pelakon cilik berbakat besar iaitu Puteri Balqis yang kini hidup dalam kesusahan, mendapat perhatian ramai termasuklah dari golongan penggiat seni sendiri.

Bagaimanapun, isu tersebut menjadi semakin panas apabila ada segelintir pihak yang melontarkan pelbagai spekulasi termasuklah mendakwa pelakon itu dan ibunya mendapat sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sebanyak RM100,000.

Terkilan dan kecewa dengan tuduhan itu, pelakon "Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng" ini mengambil keputusan untuk menutup akaun laman sosial Instagram miliknya buat sementara ini.

"Betul, Aqish (Puteri Balqis) tutup Instagram kerana terlalu kecewa dan sedih apabila banyak mendapat mesej berkenaan apa yang berlaku. Apatah lagi semuanya tidak betul.


"Terlalu banyak fitnah saya dapat sehingga saya tak tahu nak cakap apa lagi. Belum habis satu, timbul pula cerita lain. Nasib baik saya menjual buku, kalau memang kerja saya minta tolong saja, inilah jadinya. Orang pasti akan mengungkit balik," ujar ibu kepada pelakon itu iaitu Norashikin Mohd Aziz yang dipetik dari Harian Metro.

Berikutan itu, Norashikin meminta pihak berkenaan supaya henti dari memfitnah mereka.

Dalam pada itu, walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan, Norashikin berkata dia dan anaknya masih lagi menjual buku seperti biasa.

Selain menjual buku, mereka juga sentiasa membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Puteri Balqis merupakan salah seorang pelakon cilik yang mempunyai bakat lakonan yang luar biasa dan sudah membintangi banyak drama, telefilem dan filem.

Kehebatan aktres cilik itu dibuktikan apabila berjaya merangkul trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin ke-18 dan lebih membanggakan berjaya rangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Televisyen Asia ke-19.

(Sumber foto: Rojak Daily)

Cinema Online, 21 Januari 2020


Showtimes