Buletin

Rakan kongsi perlekeh "Upin Ipin" untuk dapatkan 'job' Ultraman Ribut

Penulis: Ashraf Nasser

Episod istimewa yang menampilkan Ultraman Ribut dalam siri "Upin Ipin".
Episod istimewa yang menampilkan Ultraman Ribut dalam siri "Upin Ipin".

3 Jul – Tidak dapat dinafikan nama Les' Copaque Production menerusi animasi popular mereka iaitu "Upin Ipin" sangat terkenal di rantau Asia, dan mereka telah berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dan anugerah sepanjang lebih 15 tahun dalam industri animasi.

Bagaimanapun segala pengiktirafan dan kejayaan yang dikecapi sepanjang ini dalam dunia animasi bukanlah mudah seperti yang dirancang, kerana pelbagai cabaran, halangan dan pengkhianatan perlu dihadapi mereka termasuklah rakan kongsi daripada Indonesia memperlekehkan "Upin Ipin" di hadapan pengasas dan pemilik IP (intellectual property) Ultraman iaitu Tsuburaya.

Perkara itu diedahkan sendiri oleh pemilik yang juga Pengarah Urusan Les' Copaque iaitu Hj Burhanuddin Md Radzi dalam satu entri di Facebook miliknya.

Menurut Burhanuddin, dia telah dijemput oleh rakan kongsinya dari Indonesia untuk ke Tokyo, Jepun untuk bertemu dengan syarikat pelaburan terbesar di sana iaitu Fields Corporation yang ketika itu sedang mencari tenaga pakar dari luar untuk menghasilkan IP terbaru mereka.


"Rakan kongsi saya terbang ke Jepun untuk projek kolaborasi dengan Fuji TV dan saya ketika itu tidak tahu perancangannya dengan syarikat gergasi di sana kerana saya ambil keputusan untuk menyertainya kerana mahu mencari pelabur untuk projek taman tema "Upin Ipin". Ketika saya turut serta dalam satu mesyuarat, saya menyedari pemilik IP Ultraman iaitu Tsuburaya turut berada dalam mesyuarat itu berikutan IP Ultraman kini dimiliki oleh Fields Corporation.

"Mesyuarat bermula dengan rakan kongsi memperkenalkan dirinya mewakili "Upin Ipin" di Indonesia dan dia cuba untuk 'jual' kebolehan syarikatnya dalam menghasilkan animasi 3D lebih baik dari "Upin Ipin". Saya sangat terkejut apabila dia mendakwa populariti "Upin Ipin" merudum dan rancangannya semakin popular. Saya sangat kesal dengan tindakan rakan kongsi saya itu dan saya terus menghubungi peguam saya untuk tamatkan kontrak dengan rakan kongsi kami," ujarnya.

Namun selepas mesyuarat selesai, dia telah dijemput oleh Mr K untuk ke pejabat pada keesokan harinya tanpa kehadiran rakan kongsinya.

"Saya dan isteri telah pergi ke pejabat Mr K dan ketika mesyuarat berlangsung, Mr K memberitahu kami bahawa mereka tahu "Upin Ipin" sangat popular di Indonesia dan populariti Ultraman semakin menurun. Oleh itu, dia bertanya kepada kami samada kami boleh masukkan Ultraman dalam siri "Upin Ipin" untuk menaikkan semula populariti mereka. Kami bersetuju dengan cadangan itu."

Selepas lebih setahun berunding, akhirnya mereka bersetuju dengan terma dan syarat oleh Les' Copaque dan bermulalah pembikinan animisi Ultraman Ribut (Storm) yang siap pada tahun 2014 dan apabila dibentangkan kepada pihak Tsuburaya, mereka sangat berpuas hati dengan hasil akhir.

Namun Burhanuddin berkata selepas dua tahun bekerjasama, mereka ambil keputusan untuk menarik diri dari terus berkolaborasi kerana "Upin Ipin" tidak dapat menembusi pasaran Jepun.

Walaupun mereka sudah tidak lagi bekerjasama, namun pihak Les' Copaque masih lagi menanti keputusan daripada pengurusan sana untuk kolaborasi pembikinan filem "Upin Ipin" dan "Ultraman Ribut".

Untuk pengetahuan pembaca, pada September tahun lalu Ultraman Ribut yang diperkenalkan dalam siri "Upin Ipin" telah membuat kemunculan debut di siri "Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes" yang ditayangkan secara eksklusif di saluran rasmi Ultraman di YouTube secara global.

(Sumber foto: Les' Copaque YouTube)

Cinema Online, 3 Julai 2020


Related Movies:
Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris (Malay) (21 Mar 2019)

Jwplayer article page COSG
Showtimes