Buletin

Ranveer Singh kembali ke Twitter selepas Deepika Padukone disoal siasat

Penulis: Nisa Irina

Ranveer Singh masih enggan ulas kes Deepika Padukone.
Ranveer Singh masih enggan ulas kes Deepika Padukone.

10 Okt – Setelah empat bulan mendiamkan diri dari laman Twitter, akhirnya bintang Bollywood Ranveer Singh kembali dengan ciapan barunya, namun ia bukan seperti yang diharapkan oleh orang ramai.

Sedia maklum, isterinya yang juga bintang terkenal Deepika Padukone telah dihadapkan ke pejabat Biro Kawalan Narkotik India (NCB) bagi sesi soal siasat membabitkan kes dadah dalam industri Bollywood September lalu.

Terdapat spekulasi yang mengatakan Ranveer telah membuat rayuan kepada pihak NCB untuk membenarkannya menemani isterinya sewaktu sesi soal siasat berlangsung.


Walau bagaimanapun, ternyata sehingga kini Ranveer masih mengunci mulut dan enggan memberi sebarang penjelasan berkenaan kes isterinya, sebaliknya memuat naik ciapan tentang COVID-19.

Ia sebagai tanda sokongan terhadap kempen menentang COVID-19 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Khamis seperti yang dilakukan selebriti-selebriti Bollywood lain.

Terdahulu, ciapan terakhir Ranveer adalah foto hitam putih aktor Sushant Singh Rajput susulan industri Bollywood dikejutkan dengan kematiannya pada 14 Jun.

Sejak itu, satu per satu sisi gelap Bollywood mula didedahkan, terutamanya kes pembabitan dadah dalam industri, melibatkan selebriti-selebriti Bollywood ternama.

Dalam perkembangan lain, Ranveer dan Deepika akan dilihat berkongsi skrin menerusi filem sukan Kabir Khan, "'83" yang masih tertunda tayangannya.

Selain itu, Ranveer akan membintangi filem "Jayeshbhai Jordaar" dan "Sooryavanshi", sementara Deepika akan menyambung penggambaran filem baru arahan Shakun Batra di Goa.

(Sumber: Ranveer Singh Twitter)
(Sumber foto: Koimoi)

Cinema Online, 10 Oktober 2020


Related Movies:
Gully Boy (Hindi) (14 Feb 2019)

Pautan Berkaitan:
Showtimes