Buletin

Ranveer Singh disahkan galas dua watak dalam 'remake' filem "Angoor"

Penulis: Nisa Irina

Ranveer Singh akan galas watak yang pernah dibawa oleh Sanjeev Kumar.
Ranveer Singh akan galas watak yang pernah dibawa oleh Sanjeev Kumar.

15 Okt – Selepas mencipta fenomena menerusi filem polis "Simmba", kini bintang Bollywood popular Ranveer Singh akan kembali bekerjasama dengan pembikin filem tersohor Rohit Shetty untuk 'remake' filem "Angoor".

Filem klasik yang ditayangkan pada tahun 1982 itu menampilkan barisan pelakon veteran Bollywood seperti Sanjeev Kumar, Deven Verma, Moushumi Chatterjee, and Deepti Naval.

Sehubungan dengan itu, Ranveer yang sudah menjayakan pelbagai jenis watak selama bertahun-tahun menceburi bidang lakonan, akan membawa dua watak buat pertama kali.

"Ranveer Singh akan menggalas dua watak dalam filem ini, yang juga pengalaman kali pertama buatnya. Mereka telah merancang untuk menghasilkan filem komedi ini sebesar yang mungkin.

"Sudah lama Rohit Shetty merancang untuk membikin 'remake' "Angoor" dan akhirnya ia direalisasikan dengan Ranveer Singh mengambil tempat Sanjeev Kumar," dedah sumber yang dipetik dari Eastern Eye.

Buat makluman lanjut, Rohit pernah bercadang untuk memilih Shah Rukh Khan sebagai peneraju utama filem itu pada 2015, namun perancangannya tidak menjadi dan akhirnya mereka bekerjasama dalam filem "Dilwale".

Dalam perkembangan lain, Ranveer sedang menantikan tiga buah filemnya untuk ditayangkan selepas tertunda akibat COVID-19, iaitu "'83", "Sooryavanshi" dan "Jayeshbhai Jordaar".

(Sumber: Eastern Eye)
(Sumber foto: Bollywood Hungama)

Cinema Online, 15 Oktober 2020


Showtimes