Buletin

Raveena Tandon kongsi pengalaman galas dua watak dalam sekuel "K.G.F"

Penulis: Nisa Irina

Raveena Tandon anggap wataknya dalam sekuel
Raveena Tandon anggap wataknya dalam sekuel "K.G.F" menarik kerana sisi gelapnya.

30 Jun – Selepas membuat kemunculan semula di layar perak menerusi filem "Khandaani Shafakhana" tahun lalu, kini aktres Raveena Tandon bakal muncul dalam sekuel filem aksi sejarah "K.G.F: Chapter 2" arahan Prashanth Neel.

Menurut Raveena yang berkongsikan pengalaman menggalas dua watak dalam filem itu, sesi penggambaran filem sudah pun selesai pada Februari lalu dan kini hanya berbaki proses alih suara.

Seperti yang dimaklumkan oleh Prashanth sebelum ini, Raveena akan menjayakan watak Perdana Menteri India tahun 1981, Ramika Sen.

"Saya membawa watak sebagai seorang ahli politik. Dia adalah hero dan juga penjahat dalam filem ini, yang mana ia adalah satu perkembangan jalan cerita yang menarik," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Tambah aktres filem "Bombay Velvet" itu lagi, wataknya dalam sekuel "K.G.F" adalah sesuatu yang berbeza daripada watak-wataknya yang lain kerana ia mempunyai sisi gelap tersendiri dan penuh dengan adegan suspen.


"K.G.F: Chapter 2" dijadualkan untuk dirilis di pawagam pada 23 Oktober 2020, walau bagaimanapun pihak produksi masih belum memaklumkan jika mereka akan menangguhkan tayangan kerana COVID-19 atau tidak.

Dalam pada itu, Raveena turut mendedahkan perancangan pengarah Ahmed Khan untuk membikin sebuah projek filem komedi bersamanya, namun tidak mendedahkan dengan lanjut memandangkan ia masih di peringkat awal.

"Ahmed berbincang dengan saya tentang filem arahannya yang akan datang, sebuah komedi. Dia adalah rakan lama saya dan saya selesa dengannya, jadi saya tak banyak bertanya sebelum bersetuju.

"Mengikut perancangan, projek ini akan bermula sekitar bulan Jun hingga Julai, tetapi buat masa ini, masih belum ada pengesahan memandangkan situasi COVID-19 tidak menentu," katanya.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Raveena Tandon Instagram)

Cinema Online, 30 Jun 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes