Buletin

Rita Nadira sedia untuk terokai bidang lakonan lebih mendalam

Penulis: Nisa Irina

 Rita Nadira ingin memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya sebagai pelakon.
Rita Nadira ingin memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya sebagai pelakon.

29 Jul – Model yang sedang mencipta nama sebagai pelakon iaitu Rita Nadira, nekad untuk mengukuhkan namanya dalam industri hiburan dan meneroka jauh ke dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya kalau kita sendiri sudah ceburi bidang ini, kita kena berani. Kalau tak, kenapa masuk bidang ini? Menjadi saya mudah iaitu ikut saja aturan ditetapkan.

"Saya tidak atur hidup dengan menetapkan nak menjadi itu dan ini. Bagi saya buat silap itu biasa. Tetapi, orang nasihatkan saya supaya berhati-hati supaya tidak buat silap.


"Paling penting jaga diri, personaliti dan sikap. Dengan cara itu orang boleh hormat kita," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Sejak membuat kemunculan dalam drama rantaian Astro Ria "Jujurlah Nikahi Aku", nama Rita mula menarik perhatian ramai, termasuk syarikat produksi Zeel Production yang memilihnya untuk membintangi drama "Juliet".

Sehubungan dengan itu, ia juga merupakan pengalaman pertama Rita menerima peluang untuk berlakon sebagai watak utama di samping pelakon Redza Rosli.

Tambah Rita lagi, dia tidak berasa janggal atau kekok untuk berlakon dengan Redza memandangkan pelakon itu sering membantunya ketika sesi latihan serta berkongsi idea bagi mencipta keserasian.

Selain "Jujurlah Nikahi Aku" dan "Juliet", terdahulu Rita pernah membintangi telefilem "Kisah Seram Hostel" arahan Feroz Kader, yang turut menampilkan pelakon lain seperti Janna Nick dan Wafariena Roslan.

Dalam pada itu, Rita turut mengakui bahawa hubungan cintanya bersama pelakon Ezzrin Loy, yang juga adik kepada Elfira Loy, telah pun berakhir sejak tahun lalu.

Ia susulan kedua-duanya ingin memberi tumpuan terhadap kerjaya masing-masing. Walau bagaimanapun, Rita memberitahu mereka masih berkawan baik dan ibu Ezzrin masih menjadi pengurusnya.

(Sumber foto: Rita Nadira Instagram)

Cinema Online, 29 Julai 2020


Showtimes